NASA jumpa Vikram

WASHINGTON, 3 DIS – Satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat yang mengelilingi Bulan menemui pesawat pendarat India, Vikram, yang terhempas di permukaan bulan September lalu, kata agensi itu semalam.

NASA menyiarkan imej yang dirakamkan oleh Pengorbit Peninjau Bulan (LRO) yang menunjukkan lokasi hentaman kapal angkasa itu dan serpihan berkaitan yang bertaburan hampir di 24 lokasi seluas beberapa kilometer. Dalam kenyataannya, NASA berkata ia menyiarkan imej kabur lokasi itu pada 26 September lalu, mendorong orang awam mencari petunjuk Vikram.

Ia menambah seorang individu bernama Shanmuga Subramanian menghubungi projek LRO dengan pengenalan positif serpihan, dengan cebisan pertama ditemui kira-kira 750 meter ke barat laut lokasi nahas utama. Dilancarkan Julai lalu, India berharap dengan misi Chandrayaan-2 (Kenderaan Bulan 2) akan menjadi negara keempat selepas Amerika Syarikat, Rusia dan China berjaya membuat pendaratan di Bulan, dan pertama di kutub selatan bulan. – AFP