CAPE CANAVERAL, 16 NOV – NASA melancarkan roket gergasi paling berkuasa pernah direka dalam perjalanan ke Bulan hari ini, menandakan bermulanya program baharu agensi angkasa, Artemis.
Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) setinggi 32 tingkat, berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada 1:47 pagi, menghasilkan tujahan berjumlah 39 meganewton.
Seperti dijangka, Pengarah Pelancaran Wanita NASA yang pertama, Charlie Blackwell-Thompson, memberinya kebenaran pada petang Selasa untuk memulakan operasi mengisi bahan bakar. Dipasang di atas roket ialah kapal angkasa Orion, disokong oleh dua pemacu dan empat enjin berkuasa yang akan tertanggal beberapa minit selepas dilancar.
Kira-kira dua jam kemudian, NASA berkata kapal angkasa telah melepasi ruang tarikan graviti Bumi dan sedang dalam perjalanan menuju ke Bulan.
Misi Artemis 1, penerbangan ujian tanpa angkasawan, mewakili langkah pertama dalam rancangan agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) untuk membina kehadiran berkekalan di bulan dan memulakan pembelajaran dari sana untuk bersiap sedia menjalankan penerokaan ke Marikh pada 2030.
Perjalanan akan mengambil orbit yang jauh, meneroka 64,000 kilometer di bahagian paling jauh, iaitu lebih jauh daripada mana-mana kapal angkasa yang boleh dihuni setakat ini, sebelum Orion memulakan perjalanan kembali. Apabila melalui atmosfera, perisai haba kapsul perlu menahan suhu separuh daripada kepanasan di permukaan matahari.
Misi itu akan berlangsung selama 25 hari setengah, dengan pendaratan di Lautan Pasifik pada 11 Disember. – AFP