Tuesday, August 16, 2022
23.6 C
Brunei

Nasa lancar roket selepas 27 tahun

-

CANBERRA, 27 JUN – Sebuah roket milik agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dilancarkan dari Australia buat pertama kali sejak tempoh 27 tahun, lapor Xinhua.

Roket suborbital itu dilancarkan dari Pusat Angkasa Arnhem di Wilayah Utara (NT) awal pagi kelmarin selepas pelancarannya ditangguh akibat hujan dan angin kencang, menurut The Australian Broadcasting Corporation.

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat itu sebelum ini pernah melancarkan roket dari Australia pada 1995 dan ia merupakan pelancaran pertama dari landasan pelancar komersial di negara asing.

Roket tersebut mengembara kira-kira 300 kilometer ke angkasa untuk menjalankan kajian astrofizik di Hemisfera Selatan, menurut NASA.

Ketua Menteri NT, Natasha Fyles menyifatkan acara itu sebagai ‘saat yang amat membanggakan’ bagi Australia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Equatorial Launch Australia, Michael Jones juga berkata, lokasi pelancaran tersebut telah menyebabkan persiapan yang sukar, dengan kerja bertahun-tahun untuk mendapatkan kelulusan kawal selia serta keperluan untuk mengangkut roket ke tapak pelancaran yang mengambil masa kira-kira 28 jam pemanduan dari Darwin di utara Australia.

Pusat Angkasa Arnhem yang dimiliki dan dikendalikan Equatorial Launch Australia (ELA) itu turut menyasarkan untuk menganjurkan 50 pelancaran se-tahun menjelang 2024.

Pelancaran roket seterusnya akan dijadualkan pada 4 Julai nanti. – Bernama/AFP

Sebuah roket milik agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dilancarkan dari Australia buat pertama kali sejak tempoh 27 tahun kelmarin. – Agensi
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Lelaki lepas 5 das tembakan di lapangan terbang ditahan

SYDNEY, 14 OGOS – Seorang lelaki bersenjata melepaskan lima das tembakan di lapangan terbang utama Canberra hari ini, menyebabkan penumpang melarikan diri tetapi tidak...
- Advertisment -