NASA sahkan sampel batu pertama dikumpul dari Marikh

WASHINGTON, 7 SEPT – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mengesahkan kenderaan peninjau Perseverance berjaya mengumpulkan sampel batu pertama di Marikh.

“Saya berjaya mendapatkannya!” kata agensi itu di Twitter awal pagi semalam, bersama gambar batu lebih tebal berbanding pensel di dalam tabung sampel.

NASA minggu lalu melaporkan misi itu dianggap berjaya tetapi kualiti gambar yang kabur diambil oleh kenderaan peninjau menimbulkan keraguan sama ada sampel berkenaan berjaya dimasukkan dan kekal dalam tabung. Justeru, gambar berkenaan terpaksa dirakam semula dengan pencahayaan lebih baik tetapi penghantaran data berkenaan mungkin mengambil masa beberapa hari.

NASA dalam kenyataan berasingan, berkata pencahayaan sampel tabung yang lebih baik akan membolehkan kita melihat sama ada batu yang dikumpulkan masih ada dalam tabung. Langkah seterusnya adalah untuk menutup tabung itu dan menyimpan sampel dengan selamat. Sasaran kenderaan peninjau adalah batu berukuran beg kecil yang digelar ‘Rochette’ yang terletak di kawasan permatang sepanjang 900 meter.

Ia mendarat di dasar tasik kuno digelar Kawah Jezero pada Februari lalu, dalam misi mencari tanda kehidupan mikrob kuno menggunakan peralatan canggih dipasang pada menara, selain mengkaji geologi dan iklim masa lalu Marikh dengan lebih baik. – AFP