CAPE CANAVERAL, FLORIDA, 21 JULAI – Sempena ulang tahun ke-53 pendaratan bulan Apollo 11, NASA mengumumkan kelmarin bahawa ia akan melancarkan roket bulan baharu pada akhir Ogos nanti.
NASA akan mencuba melancarkan ujian penerbangan ke bulan selama lebih sebulan dengan bantuan tiga patung, tetapi tiada penglibatan angkasawan, pada 29 Ogos nanti. Terdapat dua tarikh pelancaran pada awal September, sebelum NASA terpaksa berhenti selama dua minggu.
Jim Free dari NASA menyatakan bahawa ujian penerbangan itu menandakan bermulanya ‘program Artemis untuk kembali ke bulan’. Program agensi angkasa lepas ke bulan itu dinamakan Artemis bersempena dengan nama adik kembar Apollo dalam mitologi Greek.
Sistem Pelancaran Roket dengan ketinggian 30 tingkat dan dipasang dengan kapsul Orion sekarang berada di hangar di Pusat Angkasa Kennedy, berikutan dengan pembaikan yang berpunca daripada ujian kiraan detik pada bulan lalu. Kebocoran minyak dan masalah teknikal lainnya timbul semasa latihan pelancaran yang dijalankan NASA berulang kali di pad.
Pegawai NASA kelmarin memberi jaminan kepada pemberita bahawa masalah-masalah itu telah diselesaikan dan peringkat ujian hampir tamat. Tetapi mereka memberi amaran tarikh pelancaran boleh berubah, bergantung pada cuaca di negara tersebut yang tidak menentu dan isu yang mungkin timbul sebelum roket itu sepatutnya kembali ke pad angkasa lepas pada 18 Ogos. Dengan ketinggian 322 kaki, roket dan kapsul Orion itu lebih tinggi berbanding dengan Statue of Liberty. – AP