Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Nasi Kandaq Transporter Mamu Zir: Mai penang, cedok makan di KL

    KUALA LUMPUR – Apa yang dilakukan oleh Mohamed Hidzir Mohamed Nordin ini sudah tentunya satu berita baik bagi peminat nasi kandar yang sebelum ini mungkin terpaksa memandu ratusan kilometer hanya untuk menikmati hidangan yang begitu sinonim dengan Pulau Pinang.

    Sejak Disember 2021, anak jati pulau mutiara itu yang mesra dikenali sebagai Mamu Zir, menggunakan syarikatnya, Nasik Kandaq Transporter (NKT) untuk membawa terus nasi kandar terpilih, dari restoran kegemaran ramai di pulau berkenaan.

    Beliau juga turut menyediakan nasi kandar secara bungkus yang akan dihantar terus kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang pada setiap Sabtu dan Ahad.

    Setakat ini, beliau menerima sambutan menggalakkan daripada peminat nasi kandar yang mahukan menu asli dari Pulau Pinang.

    “Konsep makan nasi kandar yang dibawa terus dari kedai nasi kandar terkenal di Pulau Pinang adalah kaedah terbaharu yang cuba saya tampilkan bagi memenuhi permintaan penggemar nasi kandar Pulau Pinang.

    “Mungkin ramai yang akan berasa nostalgia ketika menikmati keenakan nasi kandar secara fresh, yang saya bawakan ini, seolah-olah sedang berada di Pulau Pinang,” katanya, sambil menambah, konsep (bawa nasi kandar dan makan di restoran) tercetus selepas pergerakan rentas negeri sudah dibenarkan dan permintaan kepada nasi kandar secara bungkus sedikit menurun.

    Setakat ini, Nasi Kandaq Transporter menpunyai seramai 45 orang termasuk ‘pengantaq’ di lokasi pengambilan. – Bernama
    Mohamed Hidzir Mohamed Nordin berkata perniagaan NKT bermula pada Jun 2020 setelah perniagaannya dalam bidang perkhidmatan pembersihan pejabat di Pulau Pinang terjejas akibat pandemik COVID-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Bernama

    “Jadi saya bawa semua menu yang ada, dalam periuk dari kedai nasi kandar yang dipilih setiap minggu dan bawa ke sini untuk dimakan,” katanya ketika ditemui Bernama semasa melakukan penghantaran nasi kandar dari Pulau Pinang kepada pelanggannya di hadapan Kompleks Renang Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.

    Dua jam tempoh makan

    Berkongsi lanjut tentang konsep nasi kandar secara makan terus itu,  Mohamed Hidzir berkata beliau akan mengambil tempahan terlebih dahulu dari pelanggan dan mengumpul semua pesanan seminggu lebih awal daripada tarikh sebenar nasi kandar dibawa dari Pulau Pinang.

    Menerusi konsep makan di restoran itu, beliau akan membawa beberapa buah periuk bagi hidangan lengkap untuk menu nasi kandar terdiri daripada nasi, kari ikan, kari kambing, ikan goreng, ayam masak ros, ayam bawang, telur dan sayur bendi.

    Kesemua menu berkenaan disediakan lebih awal dari kedai nasi kandar terpilih di Pulau Pinang dan Mohamed Hidzir akan mengambil kesemua menu itu di restoran tersebut.

    “Apabila tiba di sini (restoran di Seri Kembangan) pelanggan hanya akan datang dan terus makan sahaja kerana mereka membuat pembayaran semasa pemesanan. Saya sendiri yang akan mencedokkan nasi dan lauk-pauk kepada pelanggan.

    “Untuk tempoh makan pula, hanya dua jam sahaja diperuntukkan iaitu bermula jam 5 petang hingga 7 malam setiap Sabtu dan pelanggan diminta hadir dalam tempoh tersebut untuk menikmati nasi kandar yang telah dipesan,” katanya yang memperkenalkan tagline “Ampa tak pi Penang, Penang mai kat ampa”.

    Menurut Mohamed Hidzir, setiap periuk masakan untuk nasi kandar yang dibawa itu boleh menampung kira-kira 200 hingga 300 pinggan.

    Mengenai harga, beliau berkata, harga bagi lauk-pauk pula adalah sama dengan kedai asal di Pulau Pinang iaitu antara RM7 hingga RM14 mengikut pilihan menu dan beliau hanya mengenakan caj servis RM10 kepada pelanggan bagi satu hingga dua pinggan makan.

    Buat masa sekarang, Mohamed Hidzir menumpang di restoran di Equine Park dan merancang untuk membuka konsep sama di sebuah restoran yang terletak di Shah Alam.

    Hantar terus secara bungkus 

    Sebelum menawarkan makan terus nasi kandar di restoran, Mohamed Hidzir terlebih dahulu mengusahakan penghantaran nasi kandar secara bungkus terus kepada pelanggannya di sekitar Kuala Lumpur serta negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

    Dengan cara demikian, peminat tegar nasi kandar dari Pulau Pinang yang menetap di Kuala Lumpur tidak perlu memandu ratusan kilometer ke pulau mutiara itu semata-mata untuk menikmati keenakan nasi kandar.

    Bercerita lanjut,  Mohamed Hidzir berkata, dengan adanya penghantaran terus ke rumah pelanggan, ia dapat menjimatkan masa dan tenaga serta kos yang boleh mencecah RM300 termasuk petrol dan tol jika hendak ke Pulau Pinang.

    “Bukan itu sahaja. Setiba di Pulau Pinang, pelanggan perlu beratur sekurang-kurangnya sejam lagi untuk dapat menikmati nasi kandar kerana kebiasaannya gerai dan restoran nasi kandar penuh sesak dipenuhi pengunjung sama ada dari penduduk tempatan atau dari luar Pulau Pinang.

    “Jadi membeli dengan NKT adalah cara santai dan berbaloi kerana bukan sahaja murah tetapi menjimatkan kerana ia tetap datang daripada kedai pilihan pelanggan sendiri,” katanya.

    Mengenai permulaan perniagaan nasi kandar secara penghantaran itu, Mohamed Hidzir berkata, perniagaan NKT bermula pada Jun 2020 setelah perniagaannya dalam bidang perkhidmatan pembersihan pejabat di Pulau Pinang terjejas akibat pandemik COVID-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Beliau tidak menyangka perniagaan tersebut mendapat sambutan dan diterima ramai sehingga beliau pernah menerima tempahan sehingga 2,000 bungkus nasi kandar sehari yang dibawa khas dari Pulau Pinang ke Lembah Klang.

    Kini walaupun pergerakan rentas negeri sudah dibolehkan, NKT masih menerima pesanan tempahan kira-kira dalam 400 hingga 500 bungkus setiap kali membuat penghantaran.

    Untuk penghantaran nasi kandar tersebut, Mohamed Hidzir akan mula bergerak ke Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengahari selepas semua tempahan disiapkan di kedai-kedai yang terpilih dan kemudian bergerak ke Kuala Lumpur dengan hentian pertama di Sungai Buloh.

    Pelanggan yang membuat pesanan boleh menjejak perjalanan NKT dari Pulau Pinang menerusi aplikasi ‘live location’ dan akan menunggu di setiap hentian yang ditetapkan untuk mengambil tempahan.

    “Setiba di Sungai Buloh, Kuala Lumpur, sudah bersedia beberapa buah kereta yang bertindak sebagai ‘Pengantaq NKT’ yang menanti saya untuk menghantar pesanan pelanggan ke beberapa lokasi lain seperti di Shah Alam, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Cheras dan Kajang,” katanya dan menambah caj penghantaran nasi kandar.  

    Selain penghantaran nasi kandar di Kuala Lumpur dan Selangor pada setiap Sabtu dan Ahad, NKT juga akan menghantar tempahan bagi negeri Kelantan, Terengganu, Melaka dan Johor secara selang seminggu.

    NKT turut melakukan penghantaran ke Kedah dan Perlis pada Khamis manakala di Taiping , Kamunting, Ipoh dan Bagan Datuk, Perak pada Jumaat.

    Setakat ini, Nasi Kandaq Transporter menpunyai seramai 45 orang termasuk ‘pengantaq’ di lokasi pengambilan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...