Nasi Kandar Pelita buka cawangan di Arab Saudi

BUTTERWORTH, 22 Jan – Rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita), merancang untuk membuka tiga cawangan restoran itu di Arab Saudi pada tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Sihabutheen Kirudu Mohamed berkata tiga lokasi cawangan tersebut dengan kerjasama pelabur di Arab Saudi telah dikenal pasti iaitu di Mekah, Madinah dan Jeddah.

“Buat masa ini, kami masih menjalankan rundingan dengan beberapa pihak yang terlibat di sana. Mengikut perancangan, Pelita akan mengeluarkan modal sebanyak 60 peratus manakala selebihnya daripada pelabur di Arab Saudi. “Setiap restoran, kami memperuntukkan kos pembukaan sebanyak RM3.5 juta hingga RM4 juta dan kami merancang untuk membuka cawangan di Madinah pada April ini, seterusnya di Mekah dan diikuti di Jeddah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Restoran Nasi Kandar Pelita di Taman Chai Leng, di sini menerima kunjungan pemegang amanah kunci Kaabah, Dr Sheikh Soleh Taha As Shaibi yang berada di Malaysia sejak Selasa lepas atas jemputan khas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi. – Bernama