Oleh Nurdiyanah R.
Bunga Rosella, si cantik merah menawan, bukan hanya memiliki keindahan untuk menghias persekitaran halaman kediaman atau tanaman bahkan hakikatnya ia menyimpan pelbagai manfaat untuk kesihatan bagi mereka yang mengamalkannya.
Pohon bunga Rosella tumbuh dari biji atau benih dengan ketinggian yang boleh mencapai antara tiga hingga lima meter serta mengeluarkan bunga hampir sepanjang tahun. Rosella yang nama latinnya Hisbiscus sabdariffa L dikatakan tumbuhan yang berasal dari benua Afrika.
Pada umumnya kelopak bunga Rosella yang berwarna merah gelap dan tebal itu sering dijadikan minuman dengan rasa masam menghasilkan rasa segar sehingga sangat sesuai dijadikan variasi jenis olahan yang lain seperti jem dan juga serbuk teh.
Nasi Lemak Bunga Rosella
Dalam segmen Makan-Makan kali ini, penulis begitu teruja apabila berkesempatan singgah di Eco Ponies Garden yang terletak di Kampung Bang Nukat, Lamunin, Daerah Tutong, baru-baru ini untuk menyaksikan beberapa ciptaan kulinari istimewa mereka berasaskan Rosella.
Salah satu hidangan menarik hasil sentuhan Bidasari Hideout Farm Kitchen di taman Eco Ponies Garden itu dikenali dengan nama Nasi Lemak Bunga Rosella Ayam atau Daging Kambing Panggang itu pastinya begitu unik dan sungguh menyelerakan.



Dalam menghasilkan hidangan istimewa yang berkonsepkan dari ladang ke dapur itu, Dayang Eyon Ukoi selaku pengasas Eco Ponies Garden menjelaskan bahawa bahan utamanya iaitu beras perlu mengikut sukatan tertentu dan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dimasak menggunakan air rendaman atau rebusan daripada pewarna asli bunga Rosella dan juga santan kelapa.
Menariknya, ayam atau daging kambing panggang yang diperap sebelumnya bersama rempah kunyit asli, bawang merah dan putih serta garam secukupnya itu menjadi penyeri hidangan berkenaan yang pastinya sedap dimakan bersama nasi dengan elemen-elemen yang lain termasuklah daun salad dan juga hirisan bunga Rosella sehingga mampu mewujudkan aroma dan rasa yang wangi dan segar dengan gabungan sos kicap buatan sendiri.
Jus Bunga Rosella Kelapa Muda
Selain itu, bagi menyegarkan tekak, mereka juga menyediakan Jus Bunga Rosella Bersama Kelapa Muda juga menjadi salah satu kulinari istimewa yang dihasilkan bersumberkan bahan alami itu.
Dayang Eyon mengatakan dengan menggunakan salah satu bahan asas dari bunga Rosella yang telah dikisar halus dan diperah airnya itu dapat mewujudkan rasa kesegaran masam dan manis yang seimbang, lebih-lebih lagi dengan adanya gabungan air dan isi kelapa muda.
Potongan daun pandan juga menjadi penyeri bagi menambah aroma wangi sehingga mampu memberi kenikmatan yang tidak terhingga lebih-lebih lagi apabila diminum ketika sejuk.
“Bukan hanya mengeluarkan warna yang cantik, namun bunga Rosella ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan hingga kecantikan, antaranya mampu mengimbangi kadar gula darah, asam urat, dan kolesterol; dan mengatasi batuk dan sakit tekak serta mencegah penyakit kanser. Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan berat badan dan juga meningkatkan metabolisme tubuh badan serta mengawetkan kulit,” jelasnya dengan lebih terperinci yang semakin giat bersama Bidasari Hideout Community dalam memperkenalkan pelbagai kulinari istimewa penuh kreativiti dan inovasi berasaskan bahan-bahan alami penuh khasiat.
Pentingnya kualiti demi kebaikan bersama
Dalam pada itu, Dayang Eyon turut menegaskan bahawa sudah semestinya dalam menyediakan masakan, perlulah menitikberatkan kebersihan dari segala aspek tertentu meliputi bahan-bahan resipi termasuklah ramuan yang segar dan begitu juga penggunaan perkakas serta kebersihan diri.
Hal ini amat penting dititikberatkan agar kualiti kebersihan makanan sentiasa terjamin untuk para pelanggan yang menempah.
“Dengan memanfaatkan sumber alami yang terdapat di persekitaran kita ini seperti bunga Rosella, ia sememangnya sesuatu yang sangat baik untuk diketengahkan dari semasa ke semasa demi untuk menonjolkan kehidupan masyarakat Brunei khususnya semangat juang para penduduk kampung dalam sama-sama memperkasa keistimewaan hidangan mereka di mata masyarakat di negara ini bahkan juga luar negara betapa uniknya hidangan di negara kita ini,” jelasnya dengan penuh kegembiraan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.