Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Nasi Liwet daun pisang gamit hati pelanggan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Bak kata pepatah ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, itulah pepatah yang sentiasa dipegang Awang Noorfarizal bin Haji Manaf, 53, dalam mengusahakan gerai makan di hadapan kediaman beliau yang terletak di Jalan Nenas Pisang, Perumahan Teres Katok ‘B’, Daerah Brunei dan Muara sejak tahun lepas.

    Di sebalik kesungguhan Awang Noorfarizal dalam mengorak perniagaan gerai berkenaan setentunya turut diiringi dengan kecekalan sentuhan air tangan isteri tercinta, Dayang Rustidewi Subandi, 43, dalam menyediakan pelbagai hidangan istimewa untuk para pelanggan di samping bantuan tenaga daripada anak-anak tersayang.

    Mengimbas kembali detik mula menceburi bidang perniagaan ini, Awang Noorfarizal bersama isterinya mula mengetengahkan produk hidangan cita rasa gabungan Brunei dan Indonesia iaitu Mi Ayam kepada orang ramai secara dalam talian sekitar bulan Mac 2019 terutamanya dalam memenuhi tempahan pada musim Hari Raya Aidilfitri sehingga pernah mencecah sebanyak 200 pek tempahan pada tempoh permulaan jualan tersebut.

    Sekitar pertengahan tahun 2019, berbekalkan semangat berkobar-kobar untuk menaik taraf perniagaan mereka secara menyeluruh terutamanya dari segi modal kewangan untuk keperluan bahan-bahan mentah, peralatan-peralatan dapur tertentu dan pembinaan kemudahan tempat berniaga yang lebih selesa di depan kediaman, Awang Noorfarizal bersama isteri nekad untuk memohon bantuan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menerusi Program Usahawan Bakarih di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK).

    Kecekalan Dayang Rustidewi dalam menyediakan pelbagai hidangan cita rasa gabungan Brunei dan Indonesia bagi sama-sama membantu suaminya, Awang Noorfarizal menjalankan perniagaan gerai mereka sehingga ke hari ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Nasi Liwet sejenis hidangan tradisi berasal Sunda Indonesia namun diubah suai mengikuti cita rasa orang Brunei yang kian menambat hati para pelanggan.
    Para pelanggan yang berkunjung ke gerai Awang Noorfarizal untuk menikmati Nasi Liwet daun pisang.

    Bagaikan pencetus sinar

    Menerusi permohonan berkenaan, Awang Noorfarizal mengungkapkan perasaan terharu di mana ia bagaikan ‘pencetus sinar’ bagi mereka sekeluarga untuk bangkit meneruskan lagi langkah dalam mencari sumber rezeki lebih-lebih lagi setelah secara rasminya menjadi penerima bantuan SPK Yayasan sekitar tahun 2021.

    “Setelah pembinaan gerai di depan rumah siap dibina termasuklah penyediaan kelengkapan-kelengkapan yang lain seperti peralatan dapur, kerusi meja dan banner, kami tampil dengan variasi hidangan istimewa yang berkonsepkan gabungan cita rasa Brunei dan Indonesia di bawah nama perusahaan Bujal Food Portal,” kongsinya yang juga semakin giat menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga WhatsApp dalam memasarkan produk jualan untuk mencapai lebih ramai pelanggan.

    Nasi Liwet daun pisang pilihan hangat

    Jelas Awang Noorfarizal, salah satu hidangan baharu yang sering ditempah oleh para pelanggan ialah Nasi Liwet yang merupakan masakan tradisi daripada Sunda Indonesia namun diubah suai mengikuti cita rasa orang Brunei.

    Tambahnya, Nasi Liwet sejenis hidangan yang menggunakan bahan mentega dan pusu digabungkan bersama masakan ayam atau udang, ikan masin, tauhu, tempe, sambal petai dan ulam-ulaman. Apa yang menarik lagi, makanan itu dihidangkan dengan beralaskan daun pisang dan sesuai dimakan untuk enam orang bagi setiap pakej tempahan.

    Pada kebiasaannya, gerai mereka dibuka pada jam 3 petang hingga 11 malam setiap hari mengikut jumlah tempahan awal bagi memudahkan penyediaan hidangan-hidangan tersebut.

    Selain Mi Ayam dan Nasi Liwet, Awang Noorfarizal dan isteri turut mengetengahkan beberapa pilihan hidangan menarik lain antaranya variasi jenis bakso, ayam atau udang penyet, ayam geprek dan sebagainya di samping pelbagai pilihan minuman dengan harga-harga yang berpatutan.

    Tempuhi cabaran dengan strategi

    Menyentuh mengenai cabaran, sudah menjadi adat, jatuh bangun dalam perniagaan tidak akan dapat dipisahkan dalam mana-mana setiap bidang yang diceburi.

    Jelas Awang Noorfarizal salah satu cabaran yang sering dihadapi dalam menjalankan perniagaan tersebut ialah dari segi keperluan modal kewangan yang kukuh bagi memenuhi pembelian barangan bahan-bahan mentah disebabkan kenaikan harga yang tidak menentu.

    “Namun, setiap cabaran itu pasti ada jalan penyelesaiannya, bayangkan di saat gelombang kedua penularan COVID melanda tanah air, tidak dinafikan pada ketika itu kami mengalami penurunan prestasi perniagaan disebabkan tempoh operasi gerai yang begitu singkat.

    “Namun salah satu strategi yang terdetik oleh isteri saya pada ketika itu ialah untuk membukakan tempahan secara pakej iaitu ‘beli empat dengan percuma penghantaran’ maka dari situ kami bersyukur tempahan meningkat kembali,” jelasnya.

    Tiada istilah noktah

    Meskipun bermula sebagai seorang peniaga kecil-kecilan ini, Awang Noorfarizal berharap impian itu pastinya satu istilah yang bagaikan tiada noktah di benak fikiran, namun ia tetap mengalir deras lebih-lebih lagi untuk membina tapak gerai jualan yang lebih selesa dengan adanya kawasan letak kereta yang lebih teratur serta kestabilan modal kewangan dari semasa ke semasa.

    “Adalah menjadi pegangan kami untuk sentiasa mengekalkan kualiti cita rasa asli sentuhan masakan yang dihasilkan setiap masa bagi memberi kepuasan kepada setiap para pelanggan kami.

    “Di samping itu, kami akan berusaha lebih giat mempromosi penjualan pada bila-bila masa menerusi pelbagai platform media sosial. Segalanya perlu dilaksanakan sebagai usaha untuk meningkatkan prestasi perniagaan dari hari ke hari. Jangan mudah mengalah dan sentiasa yakin dengan rezeki Allah SWT jika kita rajin berusaha.

    “Bayangkan di saat kami mengalami kesusahan untuk meneruskan perniagaan suatu ketika dahulu, Alhamdulillah dengan izin Allah SWT jua, penerimaan bantuan daripada pihak Yayasan bukan hanya dari segi modal kewangan bahkan juga ilmu kemahiran termasuk kursus-kursus tertentu adalah satu rezeki yang tidak disangka-sangka selama ini. Ini kerana ia telah membuka minda dan menguatkan keyakinan kami untuk terus bangkit berjuang sehingga ke saat ini,” ujar Awang Noorfarizal bersama isterinya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...