SEMPORNA, 20 Feb – Daerah Semporna memang terkenal dengan pelbagai jenis makanan tradisional masyarakat Bajau di pantai timur Sabah dan antara hidangan istimewa ialah nasi ‘tehe-tehe’.
Nasi tehe-tehe atau nasi landak laut merupakan hidangan berkhasiat dan menjadi kegemaran dalam kalangan Bajau dan kini semakin mendapat sambutan daripada pelancong dan masyarakat lain.
Landak laut yang dikenali sebagai ‘tehe-tehe’ dalam kalangan masyarakat pribumi Bajau hidup di persekitaran batu karang dan ia merupakan cengkerang yang keras dan berbentuk bulat.
Cara penyediaan hidangan itu amat mudah di mana anda perlu mencuci tehe tehe tersebut, masukkan beras ke dalamnya dan rebus. Selepas nasi sudah masak, potong tehe-tehe tersebut dan boleh dihidangkan.
Inilah yang dipanggil Nasi Himpit ‘Tehe-Tehe’. Rasanya ada hampir-hampir macam telur ikan tapi memang sedap.
Romzi Bilgari,35, seorang penjual tehe-tehe berkata ia boleh dimakan secara mentah selepas dibersihkan, atau dimasak dan dimakan bersama putu, iaitu ubi kayu yang diperah airnya dan kemudian dikukus, ataupun dimasak dengan nasi.
“Cengkerang tehe-tehe yang keras dan berbentuk bulat itu dijadikan sebagai periuk kecil untuk menanak nasi,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Beliau berkata tehe-tehe, yang merupakan antara makanan asas masyarakat Bajau Laut, perlu direbus dahulu supaya durinya lembut bagi memudahkan ia ditanggalkan.
“Selepas itu barulah organ dalaman tehe-tehe itu dibuang dan bahagian dalam cengkerang itu dibasuh bersih dan ditoskan untuk memastikan segala kotoran tertanggal, dan beras yang dimasak di dalam cengkerang itu tidak berbau hanyir,” katanya.
Beliau berkata isterinya, yang mahir membuat menu istimewa itu, mengadun beras bersama garam, halia dan sedikit gula, yang digaul hingga sebati sebelum dimasukkan ke dalam tehe-tehe. – Bernama