Nasib 2 lelaki terlibat kes bunuh di Kuala Lurah diketahui 8 okt

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Dua orang lelaki yang dikaitkan dengan kes pembunuhan di Kuala Lurah akan mengetahui nasib mereka pada 8 Oktober depan setelah kedua-duanya mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pembunuhan terhadap Haji Aziz bin Johara dan bersubahat.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong yang bersidang bersama Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli, akan menjatuhkan hukuman pada tarikh itu sambil mempertimbangkan hukuman yang setimpal untuk dikenakan ke atas
Yusree bin Haji Ya’akub @ Yakub, 38, dan Supariddin bin Haji Mat Jinin, 45.

Ketua pendakwaan, Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani bersama Nurjauinah binti Haji Kula dan Ahmad Firdaus Mohammad, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pada tahap yang lebih tinggi dengan alasan bahawa kedua-duanya secara terang-terangan mengabaikan undang-undang dengan melaksanakan rancangan mereka secara terbuka.

Peguam bela Ahmad Zakaria Mohammad, bagi Yusree dan Shazale Haji Mohd Salleh, bagi Supariddin, meminta pertimbangan mahkamah mengenai keadaan keluarga kedua-dua mereka dan mempertimbangkan kelewatan dalam membawa kes itu ke penghujungnya.

Kes pendakwaan menyatakan bahawa kedua-duanya telah berkumpul dengan lelaki lain menuju ke Kuala Lurah sebagai pembalasan terhadap rakan mangsa bernama Haji Ismadi dan rakan-rakannya atas serangan terhadap dua anggota kumpulan mereka sendiri.
Menjelang tengah malam 11 Januari 2017, Supariddin dengan bersenjatakan pemukul besbol menaiki sebuah kereta bersama rakan-rakannya dan bertindak sebagai mata-mata untuk memberitahu kepulangan Haji Ismadi dari Limbang.

Sementara itu, Yusree dan rakan-rakannya yang bersenjatakan pisau, katana, pemukul besbol dan senjata lain pergi dengan kereta yang lain dan berdiri di tepi jalan untuk menunggu kedatangan Haji Ismadi.

Haji Tuah yang turut bersubahat dalam pembunuhan berkenaan turut pulang dari Limbang dan memberitahu mereka bahawa dia telah melihat Haji Ismadi melintasi sempadan.

Kumpulan itu tidak menemukan Haji Ismadi seperti yang diharapkan, tetapi Haji Tuah telah melihat keretanya dipandu oleh mangsa, melalui pos kawalan Kuala Lurah menuju ke Bandar Seri Begawan.

Haji Tuah lalu melaporkan kepada kumpulan itu dan mengatakan bahawa Haji Ismadi mungkin berada di dalam kereta bersama mangsa.

Namun Haji Tuah meninggalkan tempat kejadian sebelum serangan berlaku sementara itu, Supariddin dan rakan-rakannya masih tetap berada di sana.

Kumpulan bersenjata lebih 10 lelaki termasuk Yusree kemudian mula melakukan serangan dan membunuh mangsa.

Supariddin menghampiri kereta mangsa dan setelah mendapati bahawa Haji Ismadi tidak dapat ditemui, dia mula merosakkan kereta itu dengan menggunakan pemukul besbol yang dibawanya.