Nasib GP Perancis bakal diketahui tidak lama lagi

PARIS, 15 APRIL – Keputusan sama ada untuk meneruskan perlumbaan Formula Satu Grand Prix Perancis tanpa kehadiran penyokong atau menunda atau membatalkan kejohanan itu, akan diputuskan dalam beberapa hari yang akan datang, kata penganjur kelmarin.

Grand Prix yang dijadualkan pada 28 Jun, adalah perlumbaan pertama kalender kejuaraan dunia Formula Satu yang telah dikaji semula dengan sembilan perlumbaan telah dibatalkan atau digantungkan disebabkan oleh pandemik koronavirus.

Berikutan pengumuman presiden Perancis Emmanuel Macron pada hari Isnin bahawa perintah berkurung di Perancis akan dilanjutkan sehingga 11 Mei dan perkumpulan awam adalah dilarang sehingga pertengahan Julai, jurucakap bagi penganjur perlumbaan memberitahu AFP bahawa mereka ‘telah mengkaji semua senario’ termasuk menunda atau mengadakan perlumbaan tanpa kehadiran penonton.

Pengarah sukan F1, Ross Brawn berkata minggu lalu dia boleh memulakan musim F1 di Eropah pada bulan Julai dengan perlumbaan diadakan tanpa kehadiran orang awam. – AFP

Perlumbaan Formula Satu Grand Prix Perancis akan diputuskan dalam beberapa hari yang akan datang sama ada mengambil keputusan bagi perlumbaan tanpa kehadiran penyokong, menunda atau membatalkan kejohanan itu. – AFP