Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Pasukan kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) Brunei Darussalam menamatkan kempen mereka dalam Kejohanan Lelaki B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dengan tewas 5-0 di tangan Filipina di Stadium Patriot Candrabhanga di Bekasi, Indonesia kelmarin.
Kekalahan tersebut menyebabkan Brunei berada di tangga terbawah Kumpulan A dengan lima kekalahan tanpa mencatatkan sebarang gol. Ia juga mencatatkan rekod tanpa kemenangan Skuad Tabuan Muda bagi tiga kejohanan berturut-turut.
Skuad Azkals Muda mendahului perlawanan apabila pemain tengah, Karl Balandra Absalon, memanfaatkan kekurangan tumpuan di bahagian pertahanan Brunei bagi merembat masuk bola dengan tenang.
Mereka menggandakan pendahuluan apabila penyerang Andres Rafael Teves Aldeguer menyambut hantaran lintang Justin Lawrence Chan Frias dengan tandukan kemas ke dalam gawang.
Aldeguer menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan itu dengan rembatan kencang sebelum pemain gantian, Uriel Reyes Dalapo menolak bola ke gawang yang kosong selepas hantaran umpanan Dov Anthony Misael Santico Carino mengucar-ngacirkan pertahanan Brunei untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Skuad B-19 Filipina mengukuhkan kedudukan mereka dengan mencatat kemenangan selesa apabila kapten pasukan, Jamie Domingo Rosquillo melompat bagi menanduk masuk sepakan percuma Harry James P Nunez.
Sementara itu, perlawanan lain menyaksikan Vietnam dan Thailand yang mengesahkan mereka ke pusingan kelayakan berikutan keputusan seri 1-1 antara kedua-dua pasukan dan Indonesia mencatat kemenangan dengan membenam Myanmar 5-1.
Vietnam, Thailand dan Indonesia mengakhiri kempen AFF dengan jumlah mata yang sama walau bagaimanapun, Vietnam dan Thailand mara ke pusingan seterusnya berdasarkan jaringan head-to-head.
Saingan akan disambung esok dengan pusingan kalah mati apabila Laos, Myanmar, Vietnam dan Thailand bakal bersaing bagi merebut tempat dalam penentuan kejuaraan dua hari kemudian.