PARIS, 11 Ogos – Neymar sudah bersedia untuk membuat penampilan pertamanya untuk Paris Saint-Germain (PSG) hujung minggu ini apabila mereka berkunjung ke Guingamp bagi perlawanan kedua mereka dalam Ligue 1.
Bagaimanapun, liga Perancis masih menunggu sijil perpindahan dari Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) sebelum bintang Brazil itu boleh diturunkan.
Sijil itu perlu tiba sebelum Ahad jika Neymar hendak diturunkan di padang Stade du Reudourou hujung minggu ini, dengan kemungkinan FIFA perlu masuk campur jika RFEF tidak menghantar dokumen hari ini.
Tetapi Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) kelihatannya yakin dengan saga yang menyelubungi Neymar, yang memerlukan PSG memecahkan rekod dunia 222 juta euro, bakal berakhir.
“Perpindahan sudah lengkap, jadi ini tidak lama lagi berakhir,” kata presiden FFF, Noel Le Graet kepada harian sukan, L’Equipe.
“Persekutuan berhubung dengan rakan sejawatan kami di Sepanyol.
Tidak ada sebab kenapa perkara ini berterusan.
“Saya tidak perlu memberitahu anda bahawa terdapat beberapa masalah dengan persekutuan Sepanyol.
Saya tidak ragui bahawa ini akan selesai dengan cepat. Serigala tidak memakan sesama sendiri.”
Neymar hanya mampu menyaksikan dari tempat duduk Parc des Princes ketika PSG menewaskan Amiens 2-0 dalam perlawanan pembukaan Ligue 1, dan jurulatih Unai Emery mahu penyerang itu diturunkan lebih cepat. – AFP