Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Sorang wanita tempatan yang mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen akan mengetahui nasibnya pada 18 Januari di Mahkamah Majistret.
Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menetapkan tarikh sebutan hukuman itu ke atas Suriani binti Aini, 37, yang berdepan dua dakwaan memalsukan dokumen Pelesenan Pengangkutan Motor milik Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Dia melakukan kesalahan itu sebelum 1 dan 3 Disember 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.
Tertuduh yang mempunyai empat orang anak ketika itu bekerja di Bayu Ilham Motors Sdn Bhd.
Pada 1 Disember 2012, seorang pemandu bas berjaya melepasi sempadan selepas mengemukakan salinan kebenaran membawa bas khas ke seluruh Sabah yang dikeluarkan oleh JPD, kononnya sah dari 1 sehingga 31 Disember 2012 kepada pegawai bertugas di Pos Kawalan Imigresen Ujong Jalan.
Pada 3 Disember 2012, seorang lagi pemandu bas turut mengemukakan salinan kebenaran kepada pegawai bertugas di pos kawalan yang sama yang mana surat itu kemudian diberikan kepada pegawai pelesenan JPD Temburong.
Pegawai pelesenan tersebut kemudian memeriksa surat kebenaran itu melalui rakan sekerjanya di Ibu Pejabat JPD dan dimaklumkan ia telah pun mansuh.
Pegawai pelesenan kemudian meminta pemandu bas untuk mengemukakan salinan asal namun pemandu bas gagal berbuat demikian. Perkara itu dilaporkan kepada Balai Polis Bangar pada 3 Disember 2012.
Siasatan mendapati Bayu Il-ham Motors Sdn Bhd diberikan surat kebenaran pas khas oleh JPD untuk sebuah bas sahaja bagi membawa penumpang dari Brunei ke Sabah dan hanya sah dari 1 sehingga 30 November 2012.
Tertuduh didapati memalsukan dua surat salinan kebenaran dengan mengubah tarikh pada surat Pelesenan Pengangkutan Motor JPD kepada 1 sehingga 31 Disember 2012.
Tertuduh mengaku telah mengimbas surat itu dan me-ngubah tarikhnya sebelum mencetak surat yang dipalsukan.
Dia mengaku berbuat demikian kerana permohonan untuk perjalanan yang telah dikemukakan kepada JPD belum diluluskan tambahan lagi, penumpang sudah membuat pembayaran kepada syarikat dan dengan membatalkan perjalanan itu akan menyebabkan rasa tidak puas hati daripada para pelanggan .
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah binti Pehin Dato Haji Suhaili.
































