Nasib pendatang tergantung lagi

LAMPEDUSA, 21 OGOS – Seramai 83 pendatang yang mendarat di pulau Lampedusa sekali lagi terjejas, hari ini, apabila perjanjian Eropah untuk mengagihkan mereka gagal tercapai dan Madrid berkata ia mungkin akan menghukum kapal amal Sepanyol itu dengan denda berat kerana menyelamatkan mereka.

Prospek denda itu hadir selepas satu perbalahan antara NGO Sepanyol, Proactiva Open Arms dengan Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini yang sudah berakhir.

Bot itu telah dibiarkan berlabuh selama enam hari di Lampedusa sebelum pendakwa raya setempat mengarahkan para pendatang dibenarkan turun di tengah-tengah satu siasatan ke atas Salvini kerana mengharamkan kemasukan mereka ke pelabuhan.

Kebanyakan mereka telah menghabiskan masa 19 hari di dalam kapal selepas diselamatkan, ketika cuba membuat perjalanan laut yang berbahaya dari Libya ke Eropah dengan menggunakan bot kecil. Semasa berjalan turun seorang demi seorang ke pulau tersebut, sebahagian mereka dilihat tempang atau memakai pembalut.

Salvini, yang menyaksikan Perdana Menterinya Giuseppe Conte meletak jawatan sebagai protes atas usaha pemimpin League itu untuk menjatuhkan kerajaan, telah mengharamkan kesemua kapal-kapal penyelamat NGO daripada memasuki pelabuhan Itali.

Kapal amal terakhir yang beroperasi di Mediterranean, Ocean Viking, masih tercari-cari pelabuhan selamat bagi 356 pendatang yang diselamatkannya.

Kapal itu dikendalikan oleh SOS Mediterranee dari Perancis dan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), telah mengekalkan kedudukannya selama 10 hari antara Malta dan Lampedisa, memohon bagi satu pelabuhan selamat. – AFP

Gambar pada 20 Ogos 2019 menunjukkan seorang pendatang dibantu menuruni kapal penyelamat Open Arms di Lampedusa, Itali. – AP