Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Seorang pembersih akan mengetahui nasibnya esok, selepas mengaku bersalah merakam video seorang wanita di dalam tandas sebuah sekolah rendah kerajaan di Daerah Brunei dan Muara.
Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali memaklumkan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bahawa Ruzaili bin Salleh, warga Malaysia berusia 42 tahun, menetap di Brunei susulan perkahwinannya dengan seorang warga tempatan sejak 2012 dan telah bekerja di sekolah berkenaan sebagai pembersih selama setahun. Bagaimanapun, pada tengah hari 28 Oktober lalu, ketika dia menjalankan pembersihan di luar tandas, dia terdengar bunyi air paip dari tandas wanita dan mengesyaki seseorang sedang menggunakannya serta terus mendapat idea untuk merakam video.
Dia mengeluarkan telefonnya dan mula merakam video menerusi tingkap. Tidak lama kemudian, dia terdengar seorang wanita menjerit dari dalam tandas yang membuatkannya panik dan lari ke bilik stor. Dia turut memadam rakaman video itu dari telefonnya.
Wanita berkenaan yang merupakan seorang guru, lari keluar tandas untuk melihat orang yang mengintai dari tingkap tetapi tidak menemui sesiapa. Dalam keadaan tidak keruan, guru berkenaan memaklumkan rakan-rakannya di bilik staf. Dia mengesyaki bahawa orang itu adalah tertuduh kerana dia melihatnya di sana sebelum memasuki tandas.
Pengetua sekolah kemudian pergi mencari tertuduh di bilik stor untuk menyoalnya. Dia menafikan merakam video dan mengetahui siapa yang melakukannya. Telefon tertuduh diambil dan mangsa mengenal pasti telefon berkenaan serupa dengan yang dilihatnya dari tingkap.
Dari itu, mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh dan mendedahkan perbuatannya. Tertuduh memberitahu polis bahawa dia melakukannya disebabkan nafsu.