Nasib pengurus pecah amanah 23 November

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Nasib pengurus sebuah stesen minyak yang mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah $163,800.11 akan diketahui pada 23 November ini di Mahkamah Perantaraan.

Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni menetapkan tarikh sebutan hukuman terhadap Hajah Roziah binti Haji Talip, 51, yang menggelapkan wang dari stesen minyak di Beribi antara 9 Januari hingga 4 September 2015.

Dia juga mengirim wang itu ke Malaysia dalam tarikh berasingan antara 3 April hingga 5 Jun 2015.

Bagi tuduhan pecah amanah, tertuduh berdepan hukuman sehingga 10 tahun penjara.

Kesalahan pengubahan wang haram pula memperuntukkan denda $500,000 dan maksimum 10 tahun penjara atau kedua-duanya.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali.