Nasib Serie A masih jadi tanda tanya

MILAN, 5 MEI – Kelab Serie A kembali berlatih secara individu hari ini selepas dua bulan ditangguhkan akibat COVID-19.

Bagaimanapun, masih kekal menjadi tanda tanya sama ada saingan berkenaan mampu disambung semula.

Kementerian Dalam Negeri memberi lampu hijau buat pemain untuk kembali berlatih dua minggu lebih awal berbanding tarikh yang ditetapkan sekali gus memberi harapan buat penyokong bahawa musim 2019/20 mampu diselamatkan.

Kerajaan memberi maklum balas bahawa krisis yang berlaku itu akan dikawal selia oleh mereka sendiri dan memberi kebenaran untuk pasukan membuka pusat latihan bagi pemain menyambung latihan secara individu. Bagaimanapun, Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora memberi amaran walaupun latihan individu dapat diteruskan, latihan secara berpasukan harus menunggu sehingga 18 Mei.

Ketika ini Itali masih lagi dibelenggu dengan pandemik berkenaan yang mengorbankan 29,000 nyawa sekali gus menimbul tanda tanya sama ada saingan boleh dimulakan atau tidak.

“Tidak ada apa yang berubah dengan apa yang sentiasa saya katakan mengenai bola sepak. Berlatih secara berkumpulan masih belum boleh diteruskan sehingga 18 Mei dan mengenai penyambungan semula kejohanan, buat setakat ini ia masih belum dibincangkan,” kata Spadafora. Beliau menambah, perkara itu membuatkannya berdepan dengan hubungan yang lebih keruh bersama bola sepak profesional.

“Maafkan saya tapi saya mahu menjaga semua sukan lain juga dan juga pusat sukan (gimnasium, pusat tarian, kolam renang), di mana ia juga harus dibuka secepat mugkin,” katanya.

Akhbar harian The Corriere dello Sport mengeluarkan gambar muka depan menteri berkenaan sedang memegang pisau dan mahu menikam sebiji bola dengan bertajuk ‘Serang Bola Sepak’.

Secara rasmi, kesemua 20 pasukan Serie A mahu saingan disambung semula, walaupun kelab seperti Brescia dan Torino mengambil sikap berkecuali disebabkan bahagian utara Itali, diserang teruk wabak berkenaan. – AFP

Para pekerja stadium ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di salah sebuah stadium di Turin. Perlawanan Serie A kekal menjadi tanda tanya sama ada ia akan disambung semula atau sebaliknya. – AFP