Nasib tertuduh diketahui

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Seorang lelaki yang mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan di sini, atas pertuduhan mencuri akan mengetahui nasibnya pada 20 Ogos ini.

Tarikh sebutan hukuman terhadap Ampuan Abdul Razaini Zikri bin Ampuan Abdul Rahman, 29, ditetapkan Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.

Tertuduh mengaku salah mencuri alat perkakas di Sekolah Rendah Sultan Hassan, Bangar antara 30 dan 31 Disember tahun lalu dan mencuri komputer riba serta baju sukan di Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Temburong antara 17 dan 19 November tahun lalu.

Dia juga melakukan pencerobohan rumah untuk tujuan mencuri televisyen, projektor, komputer riba dan alat penerima siaran di Kampung Sungai Radang, Selapon, Batu Apoi antara 26 Disember 2018 dan 6 Januari 2019 sementara rakannya, Azimi bin Haji Mohamed, 42, yang turut berdepan pertuduhan sama pula mengaku tidak bersalah.

Manakala itu, seorang lagi rakan tertuduh, Amaran @ Muhammad Nazirul Iz’an bin Mayasin, 43, yang berdepan pertuduhan menyimpan barang curi berupa alat perkakas di sebuah rumah di Kampung Buda-Buda, Temburong pada 3 Januari 2019 membuat pengakuan tidak bersalah.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah ‘Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh.