Nasib wanita tipu hampir $100,000 diketahui esok

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Seorang wanita warga Indonesia akan mengetahui nasibnya Sabtu ini selepas mengaku bersalah hari ini kerana melakukan penipuan berkaitan dengan emas bernilai lebih $30,000 dan wang berjumlah lebih $60,000 daripada mangsa.

Pendakwa telah menghadapkan 17 pertuduhan hari ini terhadap Susanti binti Joko, 45, kerana cuba membeli tiket loteri pada 4 Julai di sebuah bangunan di Kampung Bengkurong, tinggal melebihi tempoh dari September 2019 hingga 29 Jun 2020, dan melakukan penipuan terhadap individu sejak 2019 dengan membuat mereka percaya bahawa defendan boleh melaburkan emas dan wang mereka dalam skim pelaburan emas sehingga Februari tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Affyian Abdul Rahman seterusnya mendedahkan di mahkamah bahawa defendan tidak dapat dikesan oleh mangsa yang kemudiannya membuat laporan polis.

Sehingga 4 Julai 2020, terdakwa ditangkap kerana cubaan membeli 4D bersama bukti di tempat kejadian.

Defendan juga tidak dapat mengemukakan dokumen perjalanannya.

Siasatan kemudian turut mendapati semua kesalahan yang telah dilakukannya.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid kini sedang mempertimbangkan hukuman setimpal terhadap defendan.