KUALA LUMPUR, 8 OKT – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar tidak mengambil sikap sambil lewa dalam situasi COVID-19 ketika ini.
Tunku Azizah bertitah Baginda dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bimbang dengan situasi COVID-19 sekarang ini dan menyeru rakyat memainkan peranan masing-masing bagi menghentikan penularan wabak COVID-19.
“Sekarang ini kita lihat (kes) COVID-19 kembali semula di Malaysia dengan mendadak dua-tiga hari lepas, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada seluruh rakyat, jangan ‘relax’ (dan) sambil lewa sahaja, kita semua memainkan peranan penting untuk menahan COVID-19 ini merebak lagi.
“We are now at the stage that I think is very critical and we are must take care of ourselves, kita jaga diri kita, anak dan keluarga. Sebagai ibu kepada rakyat Malaysia, saya minta dan nasihatkan semua bersama-sama menahan COVID-19 daripada merebak begitu cepat,” titah baginda.
Titah baginda itu dimuat naik menerusi hantaran laman Facebook rasmi Istana Negara.
Raja Permaisuri bertitah situasi COVID-19 di negara ini berada di tahap kritikal, susulan itu penting kepada semua masyarakat menjaga diri dan keluarga agar dapat melindungi kesihatan anak-anak daripada dijangkiti wabak itu. – Bernama