Nasri jadikan diri sebagai ‘pengajaran’

BRUSSELS, 10 JULAI – Bekas pemain tengah Perancis, Samir Nasri berkata bahawa dia menyertai bekas rakan sepasukannya di Manchester City, Vincent Kompany di Anderlecht untuk ‘menjadi pengajaran buat generasi yang lebih muda’.

Pemain berusia 32 tahun itu adalah ejen bebas selepas kontrak jangka pendeknya di West Ham mansuh.

Dia menyertai kelab London itu pada Januari selepas berakhirnya penggantungan doping selama 18 bulan, dan hanya membuat enam penampilan, kali terakhir ketika menentang Huddersfield dari bangku simpanan pada Mac.

Kompany, 33, telah kembali ke kelab pertamanya untuk memulakan langkah dalam kejurulatihan dengan memegang peranan sebagai pemain-pengurus. Dia meninggalkan Anderlecht pada 2006 ke Jerman sebelum meluangkan lebih sedekad dalam Liga Perdana.

Kerjaya Nasri termasuk di City, Arsenal dan Sevilla serta 41 penampilan untuk negaranya.

Dia kemudian digantung tiga perlawanan oleh persekutuan bola sepak Perancis selepas menghina seorang wartawan susulan penyingkiran Perancis oleh Sepanyol di Euro 2012. Dia bersara daripada bola sepak antarabangsa dua tahun kemudian.

“Saya telah melakukan kesilapan, saya mempunyai watak yang degil, mungkin sebab itu anda melihat banyak perkara buruk di internet,” katanya.

“Wang tidak menjadi motivasi, ia adalah mengenai projek sukan, dengan peluang bekerjasama bersama seorang kawan,” tambah Nasri.

Dia telah menandatangani kontrak satu tahun dengan pilihan musim kedua, selain itu dia juga mengakui mempunyai keinginan untuk mengikut jejak Kompany dalam kejurulatihan.

Nasri berkata menjadi seorang bapa pada tahun 2018 telah mengubahnya dan mahu berkongsi pengalamannya setelah ‘menjadi matang’ baru-baru ini. – AFP