Nasser Al-Attiyah teratas dalam perlumbaan Dakar

AREQUIPA, Peru, 11 Jan – Juara dua kali, Nasser Al-Attiyah meningkatkan penguasaannya dengan terus mendahului perlumbaan Rali Dakar kelmarin, memenangi peringkat keempat perlumbaan antara bandar Arequipa dan Tacna.

Pemandu dari Qatar itu yang telah dinobatkan juara pada 2011 dan 2015, telah memenangi peringkat pertama acara tahun ini Isnin lalu dengan menggunakan Toyota.

Kelmarin, dia berjaya berada di depan juara 13 kali, Stephane Peterhansel yang menggunakan Mini dengan catatan masa 1 minit 52 saat dan Jakub Przygonski yang juga memandu Mini dengan catatan 8 minit 49 saat. Secara keseluruhan, Al-Attiyah mendahului Peterhansel dengan 8 minit 55 saat menjelang peringkat kelima antara bandar Tacna dan Arequipa.

“Saya sangat gembira. Saya memenangi peringkat ini dan sangat penting bagi saya untuk kekal dekat dengan Stephane Peterhansel kerana perlumbaan masih lagi panjang,” kata Al-Attiyah. Sementara itu, juara dunia sembilan kali, Sebastien Loeb, yang memenangi peringkat kedua Selasa lalu, mengalami masalah tayar pancit sebanyak tiga kali dan terpaksa mengakhiri perlumbaan dengan catatan masa 12 minit 23 saat di belakang Al-Attiyah.

Pelumba dari Perancis itu, yang memandu Peugeot, menduduki tangga keenam secara keseluruhan, lebih daripada 50 minit di belakang Al-Attiyah.

“Ia adalah pusingan perlumbaan yang sangat rumit dan ia sangat malang kerana saya dalam rentak yang baik,” katanya.

Dalam perlumbaan motosikal, Ricky Brabec dari Amerika Syarikat menjuarai pusingan dengan menunggang Honda dan menduduki tempat teratas dalam keseluruhan, menamatkan perlumbaan 6 minit 19 saat di hadapan Matthias Walkner dari Austria dan 7 minit 7 saat di hadapan Toby Price dari Australia. – AFP

Al-Attiyah (kiri) bercakap dengan Peterhansel semasa pusingan keempat Rali Dakar di Peru pada 10 Januari 2019. – AFP