Natalie Portman tubuh pasukan bola sepak wanita

LOS ANGELES, 22 JULAI – Sekumpulan selebriti yang diketuai oleh bintang Hollywood, Natalie Portman telah menubuhkan pasukan bola sepak profesional wanita yang akan memulakan penampilan pertamanya pada tahun 2022, kata liga bola sepak pro wanita kelmarin.

Beberapa nama besar yang terlibat dalam usaha untuk menubuhkan pasukan itu termasuk bintang terkenal tenis, Serena Williams, serta bintang Hollywood lain Jessica Chastain, Eva Longoria, America Ferrera dan Jennifer Garner.

“Kumpulan wanita itu yang diasaskan oleh Portman telah memperoleh hak eksklusif untuk membawa pasukan bola sepak wanita profesional ke Los Angeles yang akan bermula pada musim bunga 2022,” kata Liga Bola Sepak Wanita Nasional (NWSL).

“Nama rasmi pasukan masih belum diumumkan, tetapi kumpulan itu secara rasmi dikenalkan sebagai ‘Angel City’ untuk menghormati bandarnya di Los Angeles,” kata kenyataan itu.

Ia akan menjadi pasukan ke-11 di NWSL. Pada masa ini, terdapat sembilan pasukan dalam liga, tetapi satu pasukan lain, Louisville FC akan bergabung kembali dalam liga pada tahun 2021.

Kumpulan pelabur untuk pasukan itu termasuk anak perempuan Williams, Olympia dan beberapa bekas pemain Pasukan Nasional Wanita AS seperti Mia Hamm, Lauren Cheney Holiday dan Abby Wambach. Usahawan Julie Uhrman akan menjadi presiden francais.

“Hari ini kami mengambil langkah menarik dengan mengumumkan penubuhan kelab bola sepak wanita yang dimiliki oleh kumpulan pemilik wanita pertama,” kata Portman, yang memenangi anugerah Oscar pada tahun 2011 melalui watak dalam filem ‘Black Swan’. – AFP

Gambar fail pada 9 Februari lalu menunjukkan Natalie Portman ketika tiba di Anugerah Oscar ke-92 di Dolby Theatre di Hollywood, California. Sekumpulan selebriti yang diketuai oleh Natalie Portman telah menubuhkan pasukan bola sepak profesional wanita. – AFP