NATO bertemu bincang keracunan Navalny

BRUSSELS, 4 SEPT – Keracunan Alexei Navalny akan dibincangkan dalam mesyuarat tergempar NATO hari ini selepas pemimpin-pemimpin Eropah mengancam mengenakan sekatan baharu terhadap Moscow, yang telah menafikan menyasarkan pemimpin pembangkang Rusia.

Peguam yang berusia 44 tahun, salah seorang ketua pengkritik presiden Vladimir Putin, jatuh sakti semasa dalam penerbangan bulan lalu dan dibawa ke Jerman untuk mendapatkan rawatan.

Pemimpin-pemimpin barat mendesak jawapan dari Kremlin selepas Berlin berkata terdapat ‘bukti kukuh’ bahawa dia telah menderita akibat racun agen saraf era Soviet, Novichok.

Bahan yang sama digunakan terhadap bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya di bandar Salisbury, England, dua tahun lalu, dan dakwaan Jerman itu mencetuskan kecaman meluas.

Jerman akan memberikan taklimat pada mesyuarat khas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara di Brussels dengan Setiausaha Agung, Jens Stoltenberg mengadakan sesi sidang media selepas mesyuarat berakhir.

Kes Skripal – kesalahan pertama menggunakan senjata kimia di Eropah sejak Perang Dunia Kedua – mendorong NATO mengusir tujuh diplomat Rusia sebagai tindak balas.

Ketua dasar luar EU, Josep Borrell sebelumnya menyeru Moscow untuk bekerjasama dalam siasatan antarabangsa mengenai keracunan itu dan berkata blok 27 buah negara tidak akan mengetepikan sekatan.

Brussels mengutuk ‘sekeras-kerasnya percubaan membunuh itu,’ menurut kenyataan Borrell. – AFP