BRUSSELS, 5 JULAI – Satu proses meratifikasikan penyertaan Sweden dan Finland sebagai anggota baharu NATO berlangsung pada hari ini, menurut Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, menandakan satu langkah bersejarah yang dibuat selepas pencerobohan Rusia di Ukraine.
“Ini adalah hari yang baik untuk Finland dan Sweden serta NATO,” kata Stoltenberg kepada pemberita dalam satu sidang bersama menteri hal ehwal luar negeri Sweden dan Finland.
“Dengan adanya 32 buah negara dalam perhimpunan ini, kami akan menjadi lebih kuat dan keselamatan rakyat akan lebih terjamin ketika negara-negara berdepan dengan krisis keselamatan dalam beberapa dekad,” tambahnya.
Setiausaha Agung NATO itu berkata sebelum mesyuarat, bahawa wakil-wakil daripada 30 anggota negara NATO menjangkakan untuk menandatangani protokol penerimaan dua negara utara Eropah itu, sekali gus mengiktiraf penyertaan negara-negara berkenaan.
“Kami sangat berhutang budi atas semua sokongan ke atas penerimaan kami sebagai negara bersekutu,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Sweden, Ann Linde.
“Kami yakin bahawa penyertaan ini akan mengukuhkan lagi NATO dan mempertingkatkan keseimbangan dalam kawasan Atlantik Eropah,” tambahnya.
Ketika berlakunya pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari lalu, Sweden dan Finland mengumumkan hasrat mereka untuk menggugurkan status berkecuali pakatan ketenteraan mereka dan menjadi anggota NATO.
Persidangan kemuncak NATO yang berlangsung di Madrid pada minggu lalu, menyokong tindakan tersebut dengan menerima penyertaan dua negara berkenaan, selepas Turkiye berjaya mendapatkan konsesi setelah membangkitkan kebimbanganya dan Amerika Syarikat pula berjanji negara tersebut akan menerima sebuah pesawat perang baharu.
Sementara itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mendakwa Sweden dan Finland cuba melindungi militan Kurdistan dan menggalakkan pengganasan. – AFP