Navalny rancang balik ke Rusia

MOSCOW, 15 SEPT – Tokoh pembangkang Rusia, Alexey Navalny, merancang untuk kembali ke Rusia dan meneruskan aktivitinya, lapor agensi berita Sputnik memetik The New York Times (NYT).

Kelmarin, Hospital Charite di Berlin mengatakan keadaan Navalny yang sedang menjalani rawatan semakin beransur baik dan tidak memerlukan lagi alat bantuan pernafasan.

“Beliau merancang mahu kembali ke Rusia dan meneruskan misinya,” kata pegawai kanan keselamatan Jerman kepada NYT.

Menurut pegawai itu, “Beliau (Alexey Navalny)  tahu mengenai keadaannya, tahu semua yang berlaku dan tahu dia berada di mana.”

Pada 20 Ogos, Navalny tiba-tiba jatuh sakit ketika berada dalam pesawat menyebabkan pendaratan kecemasan terpaksa dilakukan. Beliau kemudian dirawat di bandar Omsk, Siberia.

Dua hari kemudian, beliau diterbangkan ke Hospital Charite untuk rawatan lanjut.- Bernama

Tokoh pembangkang Rusia, Alexey Navalny yang beransur pulih merancang untuk kembali ke Rusia dan meneruskan aktivitinya. – AP