Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Nazim idam watak kontroversi

    Biarpun bergiat aktif selama lebih 15 tahun dalam bidang lakonan, aktor Nazim Othman, 38, tidak pernah meletakkan istilah puas dalam diari lakonannya.

    Sebaliknya, Nazim atau sebenarnya, Nushrul Alif Othman berkata, dia mahu terus menjayakan pelbagai karakter lebih mencabar, selain memperbaiki corak lakonannya.

    Bagaimanapun, pelakon yang muncul buat kali pertama di layar kaca menerusi drama Frontpage pada 2008 itu berkata, dia bakal berdepan rintangan sekiranya mahu menjayakan watak di luar kebiasaan atau belum pernah ada di Malaysia.

    “Sebagai pelakon, banyak watak yang saya idamkan, tetapi kita ada kekangan daripada segi paparan untuk khalayak di Malaysia.

    “Jadi, watak yang saya inginkan macam tak boleh ditayangkan di kaca televisyen (TV), kecuali diwujudkan dalam platform penstriman atau Over The Top (OTT) seperti Viu atau Netflix.

    “Dalam fasa ini, saya bukan muda lagi dan mengejar waktu untuk mencuba pelbagai watak baharu.

    “Selepas ini, mungkin ramai yang tidak mahu mengambil saya memegang watak besar dan saya perlu realistik mengenainya,” katanya kepada BH Online. Nazim berkata, dia mahu beralih ke platform OTT disebabkan lebih terbuka dan mampu mencuba pelbagai idea kreatif daripada penggiat industri.

    “Kalau diikutkan watak dilakonkan dalam setiap naskhah di platform OTT lebih ‘hidup’ dan jalan ceritanya juga di luar kebiasaan daripada apa yang selalu ditonton di kaca TV.

    “Ini kerana platform OTT memberi kebebasan dan bajet untuk penghasilan sesuatu naskhah juga lebih tinggi. Jadi, idea daripada pengkarya juga pasti lebih baik.

    “Walaupun sudah menerima tawaran daripada Viu beberapa kali, tetapi saya terpaksa menolak disebabkan pertindihan jadual.

    “Mungkin rezeki masih belum tiba. Bagaimanapun, itu antara tawaran yang saya sangat nantikan,” kata aktor yang pernah bertugas sebagai pramugara itu. – Agensi

    Nazim percaya mampu memberikan impak lakonan lebih baik sekiranya diberi kepercayaan pengkarya hebat. – Agensi

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...