Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN,14 Jun – Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Nazmi Textile tidak ketinggalan dalam sama-sama memberi bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Sehubungan itu, lebih 80 orang anak-anak yatim bagi Mukim Berakas A, hari ini, telah menerima sumbangan barang keperluan Hari Raya Aidilfitri daripada Nazmi Textile yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Pengarah Nazmi Textile, Nazir Ahmad Zachariah.
Anak-anak yatim berkenaan terdiri daripada mereka yang tinggal di Kampung Jaya Setia, Kampung Jaya Bakti, Kampung Burung Pingai Berakas, Kampung Anggerek Desa, Kampung Panca Delima, Kampung Orang Kaya Besar Imas, Kampung Serusop dan Kampung Delima Satu.
Sumbangan derma tersebut bertujuan bagi meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat dan mempelbagaikan mekanisme kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan terhadap golongan yang kurang bernasib baik khususnya kepad anak-anak yatim.
Selain itu, ia juga dihasratkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.