LOS ANGELES, 19 Julai – Magic Johnson percaya persembahan menarik Lonzo Ball dalam Las Vegas Summer League membentuk bayangan ketika Los Angeles Lakers berusaha untuk melakar kembali kejayaan.
Ball, yang dipilih oleh Lakers dengan pemilihan kedua keseluruhannya dalam draf, dinamakan MVP liga musim panas selepas mencatatkan dua ‘triple double’ dan mencatatkan empat perlawanan dengan 10 asis atau lebih.
Persembahan pemain berusia 19 tahun itu telah menulis semula buku rekod dalam liga musim panas. Sehingga tahun ini, belum ada rookie mencatatkan lebih dari satu perlawanan dengan 10 asis dan belum ada rookie melengkapkan lebih dari satu ‘triple double’.
Menurut Johnson, ia membawa petanda bagus bagi masa depan pasukan Lakers.
“Jika dia mendapatkan ‘triple-double’ dalam liga musim panas, dia akan mendapatkan ‘triple-double’ dalam musim biasa,” Johnson, presiden Lakers bagi operasi bola keranjang, memberitahu wartawan semalam.

“Seperti saya, apabila saya berada di sini, terdapat tekanan. Saya adalah pilihan nombor satu. Saya tidak mengendahkannya. Saya akan beraksi dalam perlawanan saya. Lonzo akan beraksi dengan permainannya. Pemain yang hebat melakukannya,” dia yang dipetik oleh ESPN sebagai berkata.
Johnson, yang bercakap pada pendedahan Kentavious Caldwell-Pope di pangkalan latihan El Segundo mereka, berkata dia telah menyaksikan persamaan di antara Ball dan dirinya dalam persembahannya sehingga kini.
“Lonzo adalah istimewa, tiada persoalan mengenainya, kerana dia menjadikan semua orang lebih baik,” kata Johnson.
“Dia melakukan sesuatu yang tidak dapat anda ajar. Dia memberikan anda hantaran untuk menjaringkan. Terlalu sedikit pemain pertahanan dalam liga ini boleh melakukannya. Saya bercakap mengenai memberikan anda hantaran yang membawa kepada jaringan, bukan hanya menghantar kepada anda, saya sukakannya kerana dia juga seorang rakan sepasukan yang hebat. Dia memiliki kesan khas ke atas orang ramai.”
Lakers, yang melengkapkan musim hambar dalam sejarah francais pada 2016 dengan rekod 17-65, dan tangga kedua tercorot dalam Western Conference musim lalu, sudah menjadi pasukan yang lebih bagus, kata Johnson. – AFP