NBA soal siasat Williams

ORLANDO, 26 JULAI – Pemain NBA, Lou Williams kini sedang disoal siasat oleh liga atas pertuduhan mengunjungi kelab hiburan selepas meninggalkan tempat kuarantin di Disney World untuk menghadiri upacara pengebumian, menurut laporan media Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 33 tahun itu diberi kebenaran untuk meninggalkan resort di Orlando – di mana atlet NBA tinggal dan bekerja semasa penularan wabak COVID-19 – selepas kematian bapa kepada rakannya, menurut ESPN.

Williams dilihat berada di pusat hiburan di Atalanta Khamis lalu, dengan memakai penutup mulut dan hidung NBA, menurut media AS.

Williams memberitahu NBA bahawa dia menghadiri makan malam selepas pengebumian itu, menurut ESPN.

Liga turut cuba menyiasat keberadaan Williams, bagi mengetahui tempoh kuarantinnya.

Willams yang kini sudah kembali ke Disney World, akan menjalani pemantauan selama empat hari pengasingan diri – dengan ujian harian COVID-19 – dan kemungkinan kuarantin yang dilanjutkan tertakluk kepada nasihat pakar perubatan.

Sabtu lalu, jurulatih Doc Rivers, yang kelihatan kecewa semasa perlawanan Washington berkata: “Saya tidak dapat mengulas mengenai perkara itu kerana saya tidak bersama dengannya.”

“Dan jelas sekali gambar-gambar tersebut telah tersebar dan ia adalah sesuatu yang kami tidak mahu melihatnya dan tidak menyukainya,” tambahnya.

Dua pemain lain dari pasukan tersebut, Montrezl Harrell dan Patrick Beverley, yang turut meninggalkan kem tersebut kerana urusan keluarga, masih lagi belum kembali. – AFP

Lou Williams kini sedang disoal siasat atas pertuduhan mengunjungi kelab hiburan selepas meninggalkan tempat kuarantin di Disney World untuk menghadiri upacara pengebumian. – AFP