NBA tunggu garis panduan sekitar 1 Jun

LOS ANGELES, 21 MEI – Pasukan-pasukan NBA menjangkakan pegawai liga akan mengeluarkan garis panduan sekitar 1 Jun bagi membenarkan pasukan untuk mula memanggil pemain-pemain yang menantikan menyambung semula musim NBA yang terganggu akibat koronavirus, menurut laporan ESPN kelmarin.

Penyiar sukan AS berkata pasukan-pasukan menjangkakan akan diberitahu mengenai waktu yang sama bila mereka boleh memperluaskan latihan secara individu – yang sudah dilakukan oleh beberapa pasukan – untuk melibatkan lebih banyak kakitangan pasukan.

ESPN berkata, tanpa menyebut sumbernya, ramai pemilik dan eksekutif kelab menjangka pesuruhjaya liga, Adam Silver, untuk membuat pengumuman pada bulan Jun bahawa musim boleh disambung – dengan perlawanan akan bermula ‘sekitar sebelum penghujung bulan Julai’.

Musim NBA digantungkan pada 11 Mac selepas pemain tengah Utah Jazz, Rudy Gobert, menjadi pemain pertama yang diuji positif dijangkiti COVID-19. Penggantungan tersebut dilaksanakan ketika liga menuju ke playoff, yang mana akan bermula pada bulan April. – AFP