NBT beri topeng muka, air percuma

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Atas rasa tanggungjawab dan peduli terhadap keperluan masyarakat Brunei yang berdepan musim jerebu ketika ini, NBT (Brunei) Sdn Bhd, sebuah syarikat pengedar kereta jenama Toyota dan Lexus telah mengadakan Kempen Peduli NBT dengan memberikan topeng dan air botol secara percuma yang boleh didapati di semua Bilik Pameran Lexus dan Toyota serta Pusat Perkhidmatan NBT.

Hadir menyaksikan kempen yang berlangsung di Bilik Pameran Toyota NBT, Gadong itu ialah Pengarah Urusan NBT, Haji Ahmad Omar bin Haji Husin.

Haji Ahmad Omar dalam kenyataan yang diterima mengatakan Kempen Peduli NBT itu merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat mereka yang berterusan yang mencerminkan falsafah korporat ‘NBT Cares’ syarikat berkenaan.

“Memandangkan jerebu bahaya semasa telah merebak ke Brunei, NBT sebagai badan korporat yang bertanggungjawab percaya bahawa mereka harus melakukan perkara yang betul – untuk membantu dan mewujudkan kesedaran dalam masyarakat kita terhadap kepentingan memakai topeng muka serta sentiasa terhidrat sebagai langkah menjaga kesihatan. Kami tidak hanya menjual kereta, kami juga peduli,” tekannya dalam kenyataan itu.

NBT dalam kenyataan itu juga menasihatkan orang ramai untuk menggunakan topeng muka dan meminum lebih banyak air semasa musim jerebu dan mengalu-alukan untuk mengambil secara percuma topeng muka dan air botol yang boleh didapati di premis-premis mereka.

Turut hadir semasa kempen tersebut ialah Pengurus Besar Kanan Jualan dan Pemasaran Toyota NBT, Leong Cheng Soon; Pengurus Besar NBT, Pengurus Besar Selepas Jualan, Lauro M De Guzman; Pengurus Kanan Perhubungan Pelanggan NBT, Sharifah Marianah M Othman; serta pengurus-pengurus dan kakitangan jualan dan perkhidmatan NBT.

Haji Ahmad Omar bergambar ramai semasa kempen tersebut.
Salah seorang kakitangan NBT menyerahkan topeng muka kepada salah seorang pelanggan.