NBT titip nasihat COVID-19 melalui ‘Awang Budiman’

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Dalam sama-sama menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan untuk menjaga tahap kebersihan yang tinggi seterusnya membendung penularan COVID-19, NBT Brunei telah membina papan Notis Pameran Awang Budiman di hadapan Bilik Pameran NBT Brunei, Gadong, hari ini.

Notis nasihat berukuran gergasi itu menunjukkan maskot Sukan SEA Negara Brunei Darussalam, Awang Budiman yang di sisinya bertulis pesanan-pesanan menjaga kebersihan diri kepada orang ramai termasuk sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun atau gel pembasmi kuman. Ia juga menitipkan pesanan sokongan kepada orang ramai untuk sama-sama menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan orang lain daripada jangkitan COVID-19.

Inisiatif ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat NBT bagi sama-sama membasmi COVID-19 di negara ini dengan menyalurkan maklumat tatacara mengelakkan diri daripada jangkitan koronavirus itu.

Gambar Awang Budiman dengan titipan pesanan kebersihan diri dan menjaga keselamatan dipaparkan di NBT, Gadong. – Gambar oleh Muiz Matdani