Sunday, October 2, 2022
33.3 C
Brunei

NCD faktor risiko demensia

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Kajian Lancet Publication Analysis of Global Burden of Disease Study 2019 menganggarkan terdapat sebanyak 1,574 kes penyakit demensia di Negara Brunei Darussalam dan ia dijangka akan meningkat sebanyak 365 peratus kepada 7,317 kes menjelang 2050.

Perangkaan bagi kajian berkenaan dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Bulan Alzheimer Sedunia, hari ini.

Dalam perutusannya itu, beliau menyatakan terdapat pelbagai jenis demensia yang mana penyakit Alzheimer adalah jenis yang paling lazim dan menyumbangkan kepada 60-70 peratus kes-kes demensia.

“Di Negara Brunei Darussalam, disebabkan terdapat kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi, demensia jenis vaskular juga lazim dikesan dalam kalangan warga emas.

“Penyakit demensia ini bukanlah akibat proses penuaan yang normal, ianya adalah penyakit yang menjejaskan ingatan, pemikiran, tingkah laku dan emosi individu tersebut,” ujar beliau.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam perutusannya sempena Sambutan Bulan Alzheimer Sedunia mengingatkan orang ramai untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti yang merangsang kesihatan mental bagi mengurangkan risiko demensia. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan gejala-gejala penyakit demensia termasuk hilang ingatan serta pemikiran, kesukaran mencari perkataan yang betul atau memahami apa yang dikatakan, kesukaran melaksanakan rutin harian atau perubahan personaliti dan perasaan.

“Akhirnya, mereka yang terjejas tidak akan dapat menjaga diri sendiri dan memerlukan bantuan dalam semua aspek kehidupan mereka.

“Demensia mempunyai kesan fizikal, psikologi, sosial dan ekonomi, bukan sahaja untuk penghidap demensia, tetapi juga untuk penjaga, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Selalunya terdapat kekurangan kesedaran dan pemahaman tentang penyakit demensia, mengakibatkan stigma dan halangan kepada diagnosis dan penjagaan,” jelas beliau lagi.

Terdahulu dalam perutusan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menerangkan demensia adalah sejenis penyakit yang mempengaruhi fungsi kognitif otak yang boleh menjejaskan ingatan, pemikiran, tingkah laku dan perasaan.

Ia juga merupakan penyebab utama berlakunya kelainan upaya dan kebergantungan dalam kalangan warga emas.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes demensia yang baru dikenal pasti dalam kalngan warga emas berlaku setiap tiga saat di seluruh dunia dan dianggarkan 55 juta orang di seluruh dunia hidup dengan demensia.

Dengan peningkatan kadar jumlah penduduk warga emas di setiap negara, anggaran itu dijangka akan meningkat kepada 78 juta pada tahun 2030 dan 139 juta pada 2050.

“Penyakit demensia juga kini merupakan punca utama kematian ketujuh di seluruh dunia,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Menurut beliau, pandemik COVID-19 juga telah memberi kesan yang ketara kepada semua lapisan masyarakat terutamanya kepada penghidap demensia yang mengalami risiko lebih tinggi untuk memerlukan rawatan di hospital, mengalami penyakit yang lebih parah dan risiko meninggal dunia daripada jangkitan COVID berbanding dengan pesakit yang tidak mengalami demensia.

Jangkitan COVID juga dikaitkan dengan gangguan kognitif jangka panjang dan demensia dalam kalangan warga emas.

“Perkara ini diburukkan lagi oleh sekatan dan pengasingan daripada orang lain yang mana merupakan antara risiko menghidap penyakit demensia,” tambah beliau.

Pada setiap September, Bulan Alzheimer Sedunia diperingati dan tidak terkecuali di Negara Brunei Darussalam dengan tema bagi sambutan tahun ini kekal seperti tahun 2021, iaitu ‘Kenali Demensia, Kenali Alzheimer’.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Demensia Brunei, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah merancang pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang penyakit demensia.

Di Negara Brunei Darussalam, terdapat kadar NCD yang tinggi, terutamanya tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang yang mana merupakan faktor risiko bagi demensia.

Bagi yang mempunyai penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal, risiko menghidap demensia adalah lebih tinggi berbanding mereka yang boleh mengawal penyakit tidak berjangkit dengan baik.

Yang Berhormat Dato menerangkan, antara usaha-usaha yang dapat dilakukan bagi menangani penyakit demensia adalah dengan mengetahui tentang gejala dan faktor risiko demensia.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit, yang merupakan faktor risiko demensia, mereka disarankan untuk patuh menghadiri perjanjian pemeriksaan doktor seperti yang dijadualkan.

Mereka juga boleh mendapatkan perjanjian untuk saringan atau pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat kesihatan terdekat mengikut tadahan masing-masing.

Orang ramai dinasihatkan untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti fizikal seharian sekurang-kurangnya 30 minit lima hari seminggu dan melakukan aktiviti yang merangsang kesihatan mental dan mempertingkatkan interaksi sosial bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Ini akan membantu mengurangkan risiko daripada menghidap penyakit demensia dan melambatkan perkembangan demensia,” ujarnya.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato mengulangi komitmen Kementerian Kesihatan dalam mencapai Wawasan

Brunei 2035, terutama dalam memastikan pencapaian kualiti kehidupan yang tinggi bagi semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

“Bersama kita boleh membuat perubahan untuk menangani dan memberigakan penyakit demensia,” katanya.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan,...
- Advertisment -