NCOV semakin mencemaskan

CHINA, 26 JAN – Angka korban akibat wabak koronavirus di China kini semakin mencemaskan masyarakat dunia selepas bilangan itu meningkat dengan cepat iaitu sebanyak 54 orang dan menjangkiti hampir 2,000 orang di seluruh dunia.

Manakala itu, Amerika Syarikat dan Perancis pula sedang bersiap sedia untuk memindahkan penduduknya daripada bandar yang dikuarantinkan di mana wabak itu mula dikesan.

Penerbangan itu akan berlepas pada hari Selasa dari bandar Wuhan untuk membawa kakitangan konsular ke San Francisco, kata jabatan tersebut dalam e-mel kepada warga Amerika di China.

“Kapasiti ini sangat terhad dan jika ada keupayaan untuk membawa semua orang yang berhasrat untuk meninggalkan bandar itu, keutamaan akan diberikan kepada individu dengan risiko yang lebih tinggi menghidap koronavirus,” kata jabatan tersebut.

Kira-kira 1,000 warga Amerika dipercayai berada di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei, menurut salah satu akhbar.

Gambar fail pada 23 Januari menunjukkan para penumpang menggunakan topeng muka semasa menunggu di ruang ketibaan di stesen kereta api di Hong Kong. – AP

Perancis merancang untuk memindahkan warganya yang terperangkap di Hubei dengan menggunakan bas.

Di Hubei, wilayah paling teruk terjejas, 13 kes kematian lagi dan 323 kes baharu dilaporkan. Setakat ini, lebih 1,610 kes jangkitan di seluruh negara disahkan.

Ratusan doktor tentera kini dikerahkan ke Hubei dan pihak berkuasa berusaha membina hospital baharu untuk menempatkan pesakit wabak berkenaan.

Virus itu juga sudah tersebar di seluruh China dan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Australia.

Di Shanghai, virus maut itu meragut satu nyawa, kata kerajaan tempatan hari ini, iaitu kematian pertama di hab kewangan negara itu.

Mangsa adalah seorang lelaki warga emas berusia 88 tahun yang mengalami beberapa komplikasi kesihatan lain, kata kerajaan tempatan dalam satu kenyataan sambil menambah, sejumlah 40 kes sudah disahkan di bandaraya itu setakat ini.

Sementara itu, kerajaan mengesahkan terdapat 1,975 pesakit sudah dijangkiti coronavirus setakat semalam, dengan kadar kematian meningkat kepada 56 orang, lapor stesen penyiaran rasmi CCTV.

Sementara itu China hari ini meluaskan larangan perjalanan bagi mengekang penularan wabak maut yang disifatkan Presiden Xi Jinping sebagai ancaman berbahaya.

Di Wuhan, satu arahan baharu dikeluarkan, yang melarang kereta daripada memasuki jalan raya di bandar metropolis dengan kepadatan 11 juta penduduk itu.

Ia menyebabkan jalan raya yang dahulunya sesak menjadi sunyi sepi pagi ini, dengan petugas hotel memberitahu, mereka terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja. Pihak berkuasa turut mengehadkan perjalanan ke bahagian lain negara itu.

Bandar jiran, Tianjin di bahagian utara yang memiliki populasi 15 juta penduduk turut mengumumkan akan mengambil pendekatan sama bermula esok.

Kumpulan pelancong luar negara akan digantung sementara, juga bermula esok manakala lawatan oleh pelancong tempatan sudah mula dihentikan sejak Jumaat lalu.

Manakala itu, Hong Kong telahpun mengisytiharkan penularan wabak koronavirus di Wuhan, China sebagai ‘darurat’ iaitu tahap amaran tertinggi bandar raya itu.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata, pihak berkuasa mening-katkan usaha mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan.

Manakala Disneyland Hong Kong turut mengumumkan bahawa ia telah menutup pintunya hari ini sehingga notis lanjut mengenai wabak virus maut di pusat China, sehari selepas pihak berkuasa bandar mengklasifikasikan krisis itu sebagai keadaan kecemasan.

Taman itu berkata ia mengambil langkah untuk melindungi ‘kesihatan dan keselamatan pengunjung dan kakitangan mereka’ dan berkata bayaran balik akan diberikan.

Turut mengikuti tindakan itu ialah Ocean Park, sebuah taman hiburan saingan di pulau utama Hong Kong, yang berkata ia juga telah menutup pintunya. – AFP