Ndayishimiye dilantik presiden baharu Burundi

BUJUMBURA, BURUNDI, 16 JUN – Presiden Burundi yang baru dilantik, Evariste Ndayishimiye akan mengangkat sumpah pada Khamis, umum kementerian luar, dalam satu upacara yang diadakan lebih awal disebabkan kematian mengejut pemimpin sebelumnya, Pierre Nkurunziza. Nkurunziza meninggal dunia pada usia 55 tahun pada 8 Jun, dipercayai akibat kegagalan jantung.

Kementerian luar menjemput diplomat pertubuhan asing untuk ‘menyertai upacara pelantikan’ di ibu negara Gitega, dalam sepucuk surat yang dihantar semalam.

Ndayishimiye, 52, bekas jeneral tentera dan pemberontak Hutu seperti pemimpin sebelumnya, telah dipilih oleh parti pemerintah CNDD-FDD untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada 20 Mei.

Beliau memenangi pengundian dengan 68.7 peratus, dan usaha pembangkang untuk menukar keputusan disebabkan dakwaan penipuan telah ditarik balik beberapa hari sebelum kematian Nkurunziza. – AFP

Presiden dilantik Burundi Evariste Ndayishimiye menandatangani buku takziah di istana presiden di Bujumbura, Burundi pada 13 Jun 2020. – AP