Neelofa kini berpurdah

Perkongsian foto terbaharu selebriti terkenal iaitu Neelofa yang memakai niqab atau purdah di laman Instagram miliknya pada baru-baru ini menarik perhatian warganet.

Rata-rata warganet ingin kepastian mengenai penampilan terbaharu Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 31, itu sekadar sementara atau kekal sebagai imej baharu wanita muslimah.

Enggan membiarkan warganet membuat spekulasi sendiri, usahawan terkenal ini tampil mengesahkan dia kini dalam proses memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Pengacara program temu bual Next To Neelofa ini juga berharap semua orang dapat mendoakan perjalanan baharunya agar sentiasa dilindungi Allah. “Doakan saya, insan yang penuh dengan kekhilafan ini agar sentiasa istiqamah dalam memperbaiki diri dan ampuh melalui datangnya hari.

“Kirimkan juga doa buat perjalanan baharu saya nanti agar sentiasa dalam rahmat dan reda Ilahi. Insya Allah, semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan selalu berada dalam rahmat dan EhsanNya,” kata Neelofa.

Foto Neelofa mengenakan niqab kini mendapat lebih 200,000 tanda suka (likes) dalam beberapa jam dan hampir 6,000 komen.

Dalam pada itu, ibu kepada Neelofa iaitu Datin Noor Kartini menerusi Instagram miliknya meluahkan rasa syukur dengan penghijrahan anaknya.

“Masha-Allah… masha-Allah Ya Allah tiada ungkapan untukku ucapkan syukur dengan kurniaMu mengamanatkanku bidadari yang terindah untukku, yang banyak mengajarku, yang menjadi inspirasiku.

“Ya Allah syukur atas hidayah untuknya yang kau kurniakan dan ku mohon kurniakan hidayah yang terbaik untukku, seluruh keluargaku dan seluruh umat manusia… amin. Love you bidadariku,” tulisnya. – Agensi

Neelofa mengesahkan bahawa dia kini dalam proses memperbaiki diri menjadi lebih baik. – Agensi