Neelofa, PU Riz sambut raya sederhana

Pertama kali bakal beraya sebagai ibu dan bapa, pasangan selebriti Neelofa dan suaminya Pencetus Ummah (PU) Riz memberitahu mereka akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja.

Biarpun teruja dengan kehadiran putera sulung iaitu Muhammad Bilal, namun Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor dan suami tidak membeli terlalu banyak baju raya untuk anak mereka saja.

Tahun ini, kami beraya di Kuala Lumpur, tak balik kampung sebab semua keluarga ada di sini.

“Untuk baju raya anak pun tak ada la beli banyak sangat. Ibu mertua saya pun ada belikan juga untuk Bilal. Hadiah seperti jubah yang dapat pun boleh dipakai.

“Jadi, kami beraya memang biasa saja seperti tahun-tahun sebelum ini,” kata Neelofa kepada wartawan.

Neelofa dan PU Riz sambut Raya di Kuala Lumpur sahaja tahun ini. – Agensi

Bekas pelakon dan juga pengacara program MeleTOP itu mendirikan rumah tangga dengan PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail pada 27 Mac 2021.

Pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Bilal pada 31 Januari lalu dan sehingga kini masih tidak mendedahkan lagi wajahnya.

Dalam pada itu, PU Riz yang juga seorang pelakon memberitahu dia dan isteri sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan anak mereka sepanjang beraya bersama keluarga.

“Untuk beraya ni memang kami akan fikirkan tentang keselamatan dan kesihatan Bilal sebab dia pernah sakit dan kita pun sedih.

“Jadi untuk sementara waktu, demi menjaga kesihatan, tidak mahu menyusahkan orang dan orang tidak menyusahkan kita, sama-sama la kita jaga,” ujar PU Riz. – Agensi