Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Negara alami monsun peralihan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Negara Brunei Darussalam kini memasuki monsun peralihan pada awal Oktober ini, di mana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, semasa monsun peralihan, negara pada lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari.

    Manakala, hujan dan ribut petir berlaku di kawasan pedalaman pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

    Keadaan cuaca aktif juga diramalkan berlaku bermula 3 Oktober hingga 9 Oktober 2022, keadaan ini disebabkan oleh atmosfera yang lembap di rantau ini dan sekali gus menggalakkan pembentukan awan hujan yang aktif di kawasan negara.

    Hujan dan ribut petir sekali-sekala dijangka berlaku dengan angin kencang boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan ribut petir sementara di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit di bawah satu meter.

    Sehubungan dengan itu, BDMD turut menasihatkan kepada orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    BDMD turut memberi amaran mengenai risiko berlakunya banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan air pasang.

    Selain itu, kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Sehubungan itu, orang ramai, pemandu di jalan raya dan juga pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit jabatan iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, laman sesawang www.met.gov.bn, laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @brunei.weather.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...