Negara Alp hadapi risiko runtuhan salji

BERLIN, 15 JAN – Pihak berkuasa di Switzerland mengeluarkan amaran tentang risiko runtuhan salji di rantau pergunungan negara Alp selepas salji turun dengan lebat dalam beberapa hari ini.

Syarikat pengangkutan awam Zurich menghentikan semua perkhidmatan trem dan bas di bandar terbesar Switzerland hari ini, berkata salji telah menumbangkan pokok dan menyekat akses ke tiga depot kenderaan semalaman.

Beberapa rantau kawasan timur Swiss mencatat 80 sentimeter turunan salji dalam 24 jam. Sebahagian daripada lembah Goms di sempadan dengan Itali terputus dari dunia disebabkan jalan raya yang tersekat.

Banyak jalan raya juga ditutup disebabkan risiko runtuhan salji atau pokok tumbang di barat rantau AustriaTyrol. Di kawasan Virarlberg, bekalan elektrik terputus meninggalkan kira-kira 7,400 rumah dalam keadaan bergelap.

Polis di barat daya Jerman berkata seorang wanita berusia 72 tahun terbunuh selepas sebatang pokok dipenuhi salji tumbang dan menghempapnya ketika dia berjalan bersama anjingnya berhampiran sempadan Swiss.

Anak lelaki wanita itu menemuinya dalam keadaan parah dan mengalami hipotermia, namun dia meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian. Nasib anjing wanita itu masih tidak diketahui. – AP

Orang awam berjalan di bawah pokok yang dilitupi salji di Offenburg, selatan Jerman kelmarin. – AFP