Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Negara ASEAN perlu elak jadi ‘bidak catur’ – China

    JAKARTA, 11 JULAI – Negara-negara Asia Tenggara perlu mengelak menjadi ‘bidak catur’, menteri luar China berkata hari ini, ketika beliau mendedahkan cadangan satu set ‘peraturan’ untuk mempromosikan interaksi positif antara Beijing dan Washington pada satu mesyuarat, baru-baru ini.

    Wang Yi telah mengadakan perbincangan selama lima jam pada Sabtu bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken, yang pertama antara mereka sejak Oktober, di pulau peranginan Bali, Indonesia selepas mereka menghadiri Mesyuarat Kumpulan 20 (G20) sehari sebelumnya.

    Kedua-dua belah pihak kemudian menggambarkan perbincangan itu sebagai percubaan untuk memperbaiki hubungan dan menghalang ketegangan dua hala menjadi tidak terkawal.

    Bertahun-tahun ketegangan antara dua negara itu telah membimbangkan jiran-jiran serantau, sesuatu yang diakui oleh Wang dalam ucapannya di Sekretariat ASEAN di Jakarta.

    “Pada masa ini banyak negara di rantau ini, termasuk rantau ASEAN berada di bawah tekanan untuk menyebelahi sebelah pihak,” Wang berkata.

    “Kita patut melindungi rantau ini daripada perkiraan geopolitik dan perangkap undang-undang rimba, daripada digunakan sebagai bidak catur dalam persaingan kuasa-kuasa besar,” tambahnya.

    Wang juga memberikan butiran lanjut mengenai pertemuannya dengan Blinken, termasuk langkah-langkah untuk mengurangkan ketegangan.

    “Saya memberitahu pihak AS dengan serius, bahawa kedua-dua pihak kami patut pertimbangkan membincangkan penubuhan peraturan bagi interaksi positif di Asia Pasifik dan untuk bersama-sama mendukung semangat kerantauan yang terbuka,” kata Wang, tanpa memberi butiran lanjut mengenai peraturan berkenaan.

    Beliau juga menyeru negara-negara ASEAN untuk menentang “kerjasama serantau palsu yang mengasingkan sesebuah negara”, merujuk kepada blok keselamatan dan perdagangan pimpinan AS yang tidak melibatkan China. – AFP

    Gambar yang dikeluarkan Biro Akhbar dan Media Istana Presiden Indonesia menunjukkan Presiden Joko Widodo berjabat tangan dengan Menteri Luar China, Wang Yi semasa pertemuan mereka di Istana Merdeka di Jakarta, Indonesia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...