Negara Asia Selatan rayu vaksin kepada China, Rusia

KATHMANDU, 9 JUN – Sri Lanka mula menyuntik wanita mengandung menggunakan vaksin koronavirus China hari ini manakala Nepal menyambung semula kempen inokulasi menggunakan vaksin buatan China ketika negara jiran India beralih kepada Beijing dan Moscow untuk meminta bantuan bekalan.

Nepal menangguhkan inokulasi pada hujung Mei selepas stok vaksin AstraZeneca dan Sinopharm China semakin berkurangan.

Program itu disambung semula kelmarin selepas jutaan dos Sinopharm tiba dari China, satu-satunya negara yang setakat ini memberi respons pada rayuan bantuannya.

India sebelum ini menyalurkan Nepal dengan vaksin AstraZeneca dari pengilang Serum Institute namun pada Mac membekukan eksport vaksin ketika jangkitan tempatan memuncak.

“Nepal telah menghantar permintaan kepada banyak negara termasuk jirannya, AS, Rusia dan negara lain namun vaksin tambahan belum lagi tiba,” kata pegawai kementerian kesihatan, Samir Kumar Adhikari kepada AFP.

Kira-kira dua peratus daripada penduduk di negara itu baru divaksin sepenuhnya.

Kira-kira 1.3 juta orang menerima satu dos AstraZeneca pada Mac namun sejak itu belum lagi mendapat vaksin kedua. – AFP