Negara bakal terima 70 peratus vaksin COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Negara Brunei Darussalam diberikan jaminan untuk menerima vaksin bagi kegunaan sebanyak 50 peratus daripada kadar penduduk sama ada satu atau dua dos, apabila vaksin berkenaan tersedia.

Selebihnya iaitu sebanyak 20 peratus pula, akan diperoleh menerusi perundingan secara langsung dengan agensi-agensi dan syarikat-syarikat farmaseutikal di mana vaksin berkenaan dijangka akan mula dikeluarkan pada suku awal 2021.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, hasil keputusan itu dibuat selepas perundingan antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui COVAX.

Beliau menambah disebabkan logistik dan keperluan untuk menghasilkan vaksin berkenaan, ia akan mengambil masa sebelum vaksin itu akan diedarkan kepada masyarakat.

Gambar ilustrasi pada 17 November menunjukkan botol-botol kaca yang dilekatkan tanda vaksin COVID-19 di hadapan logo Pfizer. – AFP

Ketika mengulas jika pengambilan vaksin berkenaan adalah mandatori, beliau menyatakan bahawa ia bukannya mandatori tetapi adalah digalakkan di mana beliau mengakui bahawa terdapat kebimbangan dalam kalangan orang ramai mengenai vaksin kerana lazimnya ia mengambil masa sehingga bertahun-tahun untuk dihasilkan sebelum ia boleh diguna pakai.

Bagi vaksin COVID-19, ia dihasilkan dalam tempoh yang singkat.

Namun begitu, jelasnya, keputusan daripada kajian yang dilakukan terhadap vaksin perlu diteliti dan kajian berkenaan adalah terbuka untuk penelitian oleh pakar-pakar perubatan untuk dianalisis mereka sendiri bagi memastikan ia dilaksanakan mengikuti piawaian yang ditetapkan.

Menerangkan lanjut jika vaksin itu akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa seperti pengagihan vaksin H1N1 terdahulu, petugas barisan hadapan akan diberikan vaksin dan mereka yang berisiko, namun begitu ia bukannya mandatori untuk diambil tetapi petugas kesihatan adalah digalakkan untuk mengambil vaksin berkenaan.

Manakala itu, menyentuh mengenai ciri-ciri tambahan yang terdapat pada aplikasi BruHealth terutamanya ciri tempahan perjanjian melalui aplikasi berkenaan, Yang Berhormat Dato, menerangkan bahawa pada masa ini, aplikasi BruHealth bukan sahaja digunakan bagi pemantauan penularan COVID-19 tetapi turut ditambah ciri-ciri lain seperti melihat rekod kesihatan dan membuat tempahan perjumpaan doktor.

Beliau menjelaskan ciri-ciri tambahan dibuat di Klinik Sengkurong secara rintis memberikan keputusan menggalakkan dan bermula hari ini, percubaan ciri tambahan rintis berkenaan, dilaratkan ke Klinik Seria dan Sungai Liang dengan harapan ia akan dapat dilanjutkan kepada klinik-klinik lain di masa akan datang.