‘Negara BIMP-EAGA perlu segera buka sempadan, permudah perjalanan’

KUALA LUMPUR, 28 OKT – Negara anggota Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) harus meneroka segala peluang untuk memulihkan kembali nilai rantaian rentas sempadan, kebanyakannya terputus sejak penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-14 hari ini berkata, Malaysia sudah berusaha melaksanakannya kerana menganggap BIMP-EAGA sebagai platform penting bagi membolehkan pembangunan serantau yang lebih seimbang dan inklusif.

“Bagi mencerminkan komitmen ini, kerjasama sub-serantau di bawah BIMP-EAGA diarus perdanakan serta diutamakan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

Sejajar dengan pelan berkenaan, Ismail Sabri berkata, kerjasama di bawah BIMP-EAGA akan menyasarkan peningkatan aktiviti rentas sempadan dan mengukuhkan nilai rangkaian.

Dalam usaha untuk pemulihan BIMP-EAGA selepas pandemik yang berdaya tahan dan mampan, Ismail Sabri menegaskan bahawa negara peserta mesti menetapkan strategi baharu dan berani, menerusi pendekatan menyeluruh di negara masing-masing sambil mengekalkan kerjasama serantau.

Merujuk aspek pelancongan sebagai contoh, beliau berkata dalam memulihkan industri yang teruk terjejas itu, negara anggota seharusnya meneroka kemungkinan menggunakan pendekatan standard yang membolehkan individu sudah divaksin bergerak bebas dan selamat di sempadan dengan tempoh kuarantin minima atau berdepan proses kelulusan rumit. – Bernama

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang-sidang berkaitan secara maya. –Bernama