Negara catat 1 kes import baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Satu kes import baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 216 orang.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa kes 216 ialah seorang lelaki berumur 41 tahun yang tiba di negara ini dari Jakarta melalui Singapura pada 26 Mac lalu.

Penyiasatan dan pengesanan kontak telah mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes tersebut memandangkan beliau telah dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan diri mereka telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada. Sementara itu, kenyataan turut memaklumkan bahawa empat kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang masih aktif kepada 11 kes.

Kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik. Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (337 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah 75 kes. Selain itu, Kementerian Kesihatan turut mengongsikan bahawa seramai 588 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 16,296 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 135 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 116,173 ujian. Mengenai jumlah keseluruhan individu yang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat hari ini, seramai 3,194 orang telah divaksinasi sejak 3 April 2021.