Negara catat 202 kes jangkitan baharu COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 202 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 8,464.

“Daripada jumlah itu, terdapat 63 tambahan kes baharu kepada 13 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media, hari ini.

Sementara itu, katanya, terdapat lapan kluster baharu telah dikesan iaitu Kluster Hasmit Shield Roofing Manufacture Sdn Bhd sebanyak 16 kes; Kluster 8146 sembilan kes; Kluster Tauhid Jaya Sdn Bhd sembilan kes; Kluster 6685 tujuh kes; Kluster 8132 tujuh kes; Kluster 8095 empat kes; Kluster 8261 empat kes; dan Kluster 8003 tiga kes.

Kesemua kluster ini adalah kluster tempat tinggal yang membabitkan 59 kes. “Dua daripada kluster tersebut iaitu Kluster Hasmit Shield Roofing Manufacture Sdn Bhd dan Kluster Tauhid Jaya Sdn Bhd adalah rumah-rumah yang menempatkan para pekerja syarikat berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, dua kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster itu selama 28 hari, iaitu Kluster Champion 7 (kapal-kapal lain) dan Kluster 2262, menjadikan jumlah kluster aktif kepada 153 kluster.

“Manakala, terdapat 80 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi me-ngenal pasti sumber jangkitan,” tambah Yang Berhormat Dato.

Dalam pada itu, 244 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 6,177 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,225 kes. “Di kalangan kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, enam kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan tiga daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” kata beliau.

Sementara itu, 33 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,469 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 394,083 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato mengambil kesempatan mengajak orang ramai untuk sama-sama membanyakkan selawat dan berdoa, sempena bulan Maulidur Rasul yang mulia, semoga apa jua yang kita usahakan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT jua.