Negara EU disarankan buka sempadan 1 Julai

BRUSSELS, 10 JUN – Suruhanjaya Eropah akan menyarankan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) membuka sempadan mereka kepada pelawat dari luar blok mulai 1 Julai, kata ketua diplomatik Josep Borrell hari ini.

Keputusan untuk melonggarkan sekatan yang dikenakan untuk mengekang penularan koronavirus bergantung pada ibu negara, tetapi Borrell akan mencadangkan ‘pembatalan secara berperingkat’ pengharaman tersebut.

Negara anggota EU telah mula melonggarkan sekatan sementara yang dikenakan ke atas perjalanan sempadan tidak penting dalam blok, dengan tarikh 15 Jun ditetapkan untuk memulihkan perjalanan bebas.

Pada hujung minggu, menteri dalam negeri 27 negara anggota bersetuju untuk menyelaras pembukaan semula secara berperingkat kepada pelawat dari luar kawasan Schengen, Britain dan EU.

Namun Pesuruhjaya Hal Ehwal Dalam Negeri, Ylva Johansson berkata pada minggu lalu bukan semua negara bersetuju dengan kriteria pembukaan semula, dengan sesetengah negara mahu ia dibuka lebih awal.

Greece, misalnya, dengan ekonominya kebanyakannya bergantung pada pelancongan, telah pun mengumumkan ia akan membuka semula sempadannya mulai 15 Jun kepada satu senarai negara, termasuk negara bukan EU seperti Australia, China dan Korea Selatan. – AFP

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah Josep Borrell semasa sidang media dalam talian di ibu pejabat EU, Brussels, kelmarin. – AFP