BANGKOK, 15 Sept – Malaysia, Thailand dan Indonesia bersetuju untuk memperluaskan lagi penggunaan domestik getah asli bagi menangani ketidakstabilan harga komoditi itu dan lebihan stok di pasaran.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, ia merupakan antara persetujuan yang dicapai semasa mesyuarat Jawatankuasa Menteri ???????Majlis Getah Tiga Pihak??????? Antarabangsa ???????(ITRC) yang dianggotai ketiga-tiga negara itu yang berlangsung di sini, hari ini.
“Malaysia berada di hadapan dalam penggunaan domestik getah asli dan Thailand serta Indonesia akan mengikut jejak Malaysia untuk memperluaskan lagi penggunaan domestik getah asli mereka,” katanya kepada Bernama selepas mesyuarat itu di sini.
Beliau berkata, ketika ini, penggunaan domestik getah asli Malaysia mencecah 75 peratus dan akan terus meningkat kepada 80 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.
Mesyuarat Jawatankuasa Menteri ITRC itu dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand Jen Chatchai Sarikulya. Selain Mah, mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita serta anggota Lembaga Pengarah Konsortium Getah Antarabangsa (IRCo).
Menurut Mah, ketiga-tiga negara juga bersetuju untuk membina lebih banyak jalan raya menggunakan???????getah, selain mempertingkatkan penggunaan getah asli dalam pelbagai sektor lain seperti pengangkutan dan infrastruktur.
Malaysia katanya, merupakan negara model bagi pembinaan jalan raya menggunakan getah.
Semasa mesyuarat itu, ketiga-tiga negara turut menyasarkan usaha meningkatkan penggunaan???? getah asli di peringkat domestik masing-masing sebanyak 10 peratus setiap tahun.
Bagi Malaysia, Mah berkata, kestabilan harga getah asli adalah amat penting, selari dengan hasrat yang disuarakan lebih 400,000 pekebun kecil getah ketika siri dialog bersama mereka.
“Kita tidak mahu harga turun naik secara mendadak. Kita mahu harga stabil kerana itulah hasrat pekebun kecil,” katanya, dan menambah, bahawa harga getah asli dijangka meningkat tahun depan daripada paras RM1.60 hingga RM2.00 sekilogram ketika ini.
Selain itu, Mah berkata, ITRC juga bersetuju menerima Vietnam sebagai anggota terbaharunya, sekali gus menjadikan 80 peratus daripada output getah dunia adalah dihasilkan oleh negara ITRC. Malaysia merupakan negara pengeluar getah keenam terbesar dunia. – Bernama